Syarikat usaha sama Sersol teroka kerjasama dengan firma China | DagangNews Skip to main content

Syarikat usaha sama Sersol teroka kerjasama dengan firma China

KUALA LUMPUR 22 Dis - Sersol Bhd. menerusi syarikat usaha samanya memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Chongqing Beidou Jiean Neo-Energy Technology Ltd. untuk mengeluarkan dan mengedarkan skuter elektrik dan aksesori serta infrastruktur berkaitan di Malaysia, Thailand dan Indonesia. 

 

Syarikat usaha sama itu yang juga anak syarikat milik penuh Sersol Energy Sdn. Bhd., iaitu Sersol Takuni (M) Sdn. Bhd., Sersol Takuni (Thailand) Co. Ltd dan PT Sersol Takuni, memeterai perjanjian dengan Beidou dari China.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Sersol berkata, MoU itu akan membuka laluan kepada Sersol Takuni dan Beidou untuk bekerjasama antara satu sama lain secara eksklusif di ketiga-tiga negara tersebut.

 

"Syarikat-syarikat ini akan membantu dan memudahkan Beidou dalam menjalankan dan memenuhi semua aktiviti perniagaan di Malaysia, Thailand dan Indonesia tetapi tidak terhad kepada bilik pameran, pensijilan produk dan stok utama.

 

"Beidou akan menyediakan produknya, termasuk pemindahan teknologi dan pelesenan paten apabila pihak-pihak berkaitan ingin menubuhkan pangkalan pembuatan sama ada di Malaysia atau Thailand," katanya dalam makluman itu semalam.

 

Beidou merupakan syarikat teknologi khusus dalam menyediakan penyelesaian menyeluruh untuk teknologi tenaga baharu dan digunapakai dalam pelbagai industri.

 

Sersol menjangkakan MoU itu tidak memberi kesan kepada modal terbitan dan pemegangan utama syarikat serta aset bersih sesaham dan penggearan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022. - DagangNews.com