Sunway Healthcare akan terbit Sukuk Kelestarian untuk pembinaan hospital seluruh Malaysia | DagangNews Skip to main content

Sunway Healthcare akan terbit Sukuk Kelestarian untuk pembinaan hospital seluruh Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mac - Sunway Healthcare Group (SHG) telah berjaya mewujudkan Rangka Kerja Pembiayaan Kelestarian yang akan digunakan oleh kumpulan tersebut untuk menerbitkan Sukuk Kelestarian.

 

Sukuk tersebut adalah di bawah program Sukuk Wakalah RM5 bilion anak syarikatnya, Sunway Healthcare Treasury Sdn Bhd, untuk membiayai projek yang layak, termasuk membuka hospital baharu di seluruh Malaysia agar dapat memberi akses penjagaan kesihatan berkualiti tinggi kepada lebih ramai komuniti.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) bertindak sebagai penasihat penstrukturan kelestarian tunggal bagi penubuhan rangka kerja serta penasihat utama tunggal, penyusun dan pengurus utama bagi Program Sukuk Wakalah.

 

Presiden Sunway Healthcare Group, Datuk Lau Beng Long berkata bahagian penjagaan kesihatan syarikat itu berusaha ke arah menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG), terutamanya dalam bidang penjagaan kesihatan berkualiti, jangkauan komuniti, kepelbagaian bakat dan usaha hijau.

 

“SHG mendorong sempadan kecemerlangan klinikal dan keupayaan teknologi untuk menyokong matlamat penjagaan kesihatan negara dan untuk meningkatkan standard penjagaan kesihatan di rantau ASEAN,” tambahnya dalam satu kenyataan bersama Maybank IB hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank, Datuk Fad'l Mohamed menzahirkan keterujaan bank itu untuk menyokong cita-cita kelestarian SHG dengan kepakaran mereka dalam kewangan mampan.

 

Rangka kerja tersebut telah diberi penarafan tertinggi ‘Emas’ dalam penilaian bon impak oleh Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC).

 

Sebagai penyemak luar bebas, MARC menilai kesan Penggunaan Hasil terhadap projek yang termasuk dalam empat kategori iaitu akses kepada teknologi penting dan terkini dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan; bangunan hijau; kecekapan tenaga; dan tenaga boleh diperbaharui.

 

Kumpulan itu berkata kesan itu dianggap penting, di mana manfaat sosial dan alam sekitar yang jelas menyokong secara langsung sembilan daripada 17 UN SDG.

 

Di samping itu, Sunway Healthcare berkata rangka kerja ini juga mematuhi Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Kemampanan dan Tanggungjawab Suruhanjaya Sekuriti Malaysia; Piawaian Bon Hijau, Sosial dan Kemampanan Forum Pasaran Modal ASEAN; Prinsip Bon Hijau, Sosial dan Kemampanan Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa; dan Prinsip Pinjaman Hijau dan Sosial Persatuan Pasaran Pinjaman.

 

Kumpulan itu juga merancang untuk berkembang dengan hospital di Sunway Kota Damansara (Selangor), Iskandar Puteri (Johor), Ipoh (Perak), Kota Bahru (Kelantan) dan Paya Terubong (Pulau Pinang), memacu pertumbuhannya menjadi salah satu organisasi penjagaan kesihatan terbesar di Malaysia dengan jumlah kapasiti katil melebihi 3,000 di seluruh rangkaian hospitalnya. -DagangNews.com