Sabah kutip cukai produk petroleum RM1.79 bilion | DagangNews Skip to main content

Sabah kutip cukai produk petroleum RM1.79 bilion

Gambar BERNAMA

KOTA KINABALU 29 Nov - Kerajaan Sabah mengutip sebanyak RM1.79 bilion cukai jualan negeri (CJN) bagi produk petroleum yang dikeluarkan antara Jan lalu hingga 28 Nov, kata Menteri Kewangan Kedua Sabah, Masidi Manjun.

 

Katanya, jumlah berkenaan juga melebihi sasaran kutipan sebelum ini, iaitu RM1.1 bilion, lapor Free Malaysia Today.

 

Beliau berkata, sasaran awal itu berdasarkan harga minyak USD53 setong di pasaran antarabangsa, namun peningkatan harga minyak sepanjang tahun ini turut meningkatkan kutipan CJN.

 

“Sukacita dimaklumkan bahawa hasil CJN petroleum yang dikutip kerajaan negeri lebih tinggi daripada apa yang kita jangka dan anggarkan.

 

“Setakat 28 Nov, iaitu kelmarin, sebanyak RM1.79 bilion hasil CJN petroleum berjaya dikutip,” katanya pada sesi soal jawab sidang DUN Sabah di sini.

 

Beliau menjawab pertanyaan Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) mengenai jumlah CJN yang dianggarkan pada tahun ini bagi sektor minyak dan gas di Sabah.

 

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Dr Yusof Yacob (BN-Sindumin) mengenai perbezaan CJN dikutip di Sabah dengan Sarawak, Masidi berkata, kutipan Sarawak lebih tinggi berikutan aktiviti hiliran minyak dan gas yang lebih banyak di negeri itu.

 

“Sarawak lebih ke hadapan dalam industri hiliran minyak dan gas, sebab itu mereka dapat mengutip cukai yang lebih tinggi,” katanya.

 

“(Sabah) pun dalam usaha untuk meluaskan kutipan CJN termasuk produk urea dan ammonia,” katanya. - DagangNews.com