Ramssol dapat 'lampu hijau' terbit waran kepada pemegang saham | DagangNews Skip to main content

Ramssol dapat 'lampu hijau' terbit waran kepada pemegang saham

Datuk Seri Cllement Tan Chee Seng
Oleh DIYANA ISAMUDIN

CYBERJAYA 8 Feb - Ramssol Group Bhd mendapat kelulusan pemegang sahamnya untuk terbitan waran berdasarkan 1 waran bagi setiap 2 saham biasa sedia ada melalui mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dilakukan sepenuhnya secara maya.

 

Harga pelaksanaan untuk terbitan bonus sehingga 122,678,325 waran yang mempunyai tempoh 5 tahun telah ditetapkan pada 45 sen setiap waran yang mewakili premium kira-kira 16.73% berbanding harga pasaran purata wajaran volum 5 hari saham tersebut sehingga dan termasuk 2 Disember 2022. 

 

Tarikh kelayakan akan ditentukan dan diumumkan kemudian oleh lembaga pengarah, katanya dalam kenyataan, semalam.

 

Terbitan bonus waran bertujuan untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham Ramssol dan membenarkan mereka mengambil bahagian dalam sekuriti boleh tukar syarikat yang boleh didagangkan di Bursa Malaysia.

 

Syarikat itu menambah, pemegang saham tidak akan menanggung sebarang kos, serta dapat meningkatkan penyertaan ekuiti mereka di dalam syarikat pada harga laksana yang telah ditetapkan sepanjang tempoh waran. 

 

Hal ini akan membenarkan mereka untuk terus mengambil bahagian dalam pertumbuhan masa depan syarikat apabila waran dilaksanakan. 

 

Pada masa sama, pelaksanaan waran pada masa mendatang akan mengumpul dana baharu untuk syarikat di samping mengukuhkan asas modalnya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Cllement Tan Chee Seng berkata, syarikat tersebut berbesar hati menawarkan terbitan bonus waran itu sebagai ganjaran kepada pemegang saham di atas kesetiaan dan sokongan mereka dan optimis terhadap prospek dan trajektori pertumbuhan syarikat.

 

“Berdasarkan perkara ini, kami berharap pemegang waran melaksanakan waran mereka untuk meningkatkan penyertaan ekuiti mereka dalam Ramssol.

 

“Kami akan terus melaksanakan rancangan kami dan memastikan kami terus menambah nilai untuk pemegang saham dan pihak berkepentingan lain juga,” tambahnya. – DagangNews.com