Phuture Food bekerjasama dengan Coffee Bean, OldTown tawar daging berasaskan tumbuhan kepada pelanggan | DagangNews Skip to main content

Phuture Food bekerjasama dengan Coffee Bean, OldTown tawar daging berasaskan tumbuhan kepada pelanggan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mac -  Pengeluar makanan berasaskan tumbuhan, Phuture Food bekerjasama dengan Coffee Bean dan OldTown untuk menawarkan rangkaian protein berasaskan tumbuhan kepada pelanggan.

 

Diasaskan pada 2018 oleh J Yap dan Lim Jin Yin, Phuture mengeluarkan dan membekalkan rangkaian protein berasaskan tumbuhan sedia untuk dimasak seperti High Fibre Chick’n, Invincible Mince, Burger Patties Super Gourmet dan juga High Fiber Chick’n Breast Nuggets. 

 

Yap yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Phuture Food berkata, terdapat peningkatan ketara dalam permintaan pasaran yang didorong isu global yang memuncak seperti keselamatan dan kelestarian makanan, perubahan trend pengguna kepada 'vegan' dan penurunan berterusan dalam kos makanan berasaskan tumbuhan. 

 

"Kami melihat ini secara langsung, apabila kami menyaksikan peningkatan minat daripada jenama F&B terkemuka di sini, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pemasaran dan Inovasi  The Coffee Bean & Tea Leaf Malaysia, Fiona Rodrigues pula berkata, sebagai jenama yang telah berkhidmat kepada komuniti Malaysia sejak 25 tahun lalu, pihaknya memahami impak setiap inisiatif yang mereka lakukan. 

 

Katanya, dengan pengenalan ‘Set Sarapan Berasaskan Tumbuhan’, pihaknya sangat teruja kerana dapat memyumbangkan satu lagi impak positif. 

 

"Pasa masa sama, pengenalan pilihan berasaskan tumbuhan menekankan kepercayaan kami bahawa keterangkuman adalah penting dan hidangan kami bersesuaian untuk semua orang," katanya.

 

 

pf

 

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pembangunan OldTown White Coffee, Deric Yeo berkata, pihaknya memulakan kerjasama dengan Phuture Food dan memperkenalkan makanan berasaskan tumbuhan yang kaya dengan protein dan serat untuk menggalakkan pilihan makanan yang sihat dan mampan. 

 

“Kami menawarkan hidangan Chick’n Popcorn yang berasaskan tumbuhan Phuture di konsert Blackpink baru-baru ini. Sambutan positif dari pengunjung konsert mendorong penambahan menu untuk mereka yang cenderung kepada makanan berasaskan tumbuhan,” katanya.

 

 

pf

 

 

pf

 

 

Untuk usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) berterusan ke arah pengeluaran daging alternatif berasaskan tumbuhan yang berkualiti tinggi, Phuture Food baru-baru ini meraih pengiktirafan sebagai 500 syarikat makanan terbaik di dunia oleh 500FoodTech. 

 

Anugerah itu mengiktiraf bakat di peringkat global yang membawa kemajuan dalam teknologi makanan. - DagangNews.com