Petronas Chemicals catat untung RM1.9 bilion bagi suku ketiga di sebalik tekanan margin | DagangNews Skip to main content

Petronas Chemicals catat untung RM1.9 bilion bagi suku ketiga di sebalik tekanan margin

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Nov - Untung bersih Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) susut 3.5% kepada RM1.89 bilion pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 daripada RM1.96 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Penurunan ini sejajar dengan margin yang lebih rendah dan sumbangan yang kurang daripada syarikat usaha sama dan syarikat bersekutu, menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu meningkat 22% kepada RM7 bilion daripada RM5.8 bilion bagi tempoh sama tahun kewangan 2021 didorong oleh harga produk yang lebih tinggi berikutan dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh, ditambah dengan jumlah jualan yang lebih tinggi.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, pendapatan kumpulan meningkat 26% kepada RM20.2 bilion, manakala keuntungan bersihnya meningkat 11% kepada RM5.8 bilion, berbanding RM5.29 bilion bagi tempoh yang sama tahun lalu.

 

 

Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof
Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof

 

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata, harga produk kekal tinggi pada suku tersebut dengan sokongan harga minyak mentah dan tenaga yang tinggi, walaupun lebih rendah berbanding suku kedua 2022.

 

Katanya, jumlah pengeluaran dan jualan turut bertambah baik pada suku tersebut dengan kadar penggunaan loji telah meningkat sebanyak 97% daripada 72% pada suku sebelumnya.

 

"Dianggarkan 70% daripada jumlah pengeluaran PCG dieksport ke rantau Asia Pasifik, di mana Asia Tenggara merangkumi kira-kira 40%. 

 

"Walaupun pengukuhan dolar AS membantu meningkatkan pendapatan, kami menghadapi tekanan margin akibat kos operasi yang lebih tinggi," katanya. 

 

Mengulas mengenai pasaran, beliau berkata, permintaan dilihat berkurangan, terutama untuk produk polimer, kesan daripada kos tenaga tinggi yang berterusan di samping sekatan COVID-19 yang berlanjutan di China. 

 

Menurutnya, setelah menurun ke paras 2021 sejak beberapa minggu lalu, harga olefin dan derivatif dijangka terus menyederhana sehingga pelonggaran sekatan di China. 

 

"Bagaimanapun, harga urea dijangka kekal tinggi antara AS$550 satu tan metrik hingga AS$700 satu tan metrik berikutan harga tenaga yang terus menaik akibat perang Rusia-Ukraine yang berterusan," jelasnya. -DagangNews.com