Perolehan Kejuruteraan Asastera terjejas akibat harga bahan mentah tinggi | DagangNews Skip to main content

Perolehan Kejuruteraan Asastera terjejas akibat harga bahan mentah tinggi

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 23 Feb – Penyedia penyelesaian kejuruteraan dan tenaga Kejuruteraan Asastera Berhad (KAB) mencatat keuntungan bersih kumpulan lebih rendah pada RM0.6 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4Q22) berbanding RM1.4 juta pada 4Q21.

 

Keputusan tersebut sejajar dengan penurunan hasil kumpulan kepada RM46.6 juta pada 4Q22 daripada RM52.8 juta sebelumnya, berikutan harga bahan mentah yang lebih tinggi yang memberi kesan kepada segmen Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal (M&E).

 

Bagaimanapun, segmen Rumusan Tenaga Lestari (SES) Kumpulan meneruskan trajektori pertumbuhannya yang kukuh, dengan keuntungan operasi segmen itu melonjak 270.9% kepada RM1.3 juta pada 4Q22 daripada RM0.3 juta pada suku yang sama sebelumnya.

 

Prestasi SES yang lebih baik disokong oleh pendapatan segmen 15.5% lebih tinggi sebanyak RM6.6 juta berbanding RM5.7 juta sebelumnya, sebahagian besarnya disebabkan oleh permulaan loji janakuasa penjanaan bersama yang baru diperoleh di Negeri Sembilan, sebagai tambahan kepada hasil daripada sistem fotovoltan solar (PV) di Malaysia dan Thailand yang bermula pada awal 2022.

 

Dengan peningkatan keuntungan, segmen SES menjadi penyumbang utama kepada prestasi Kumpulan pada 42.6% daripada keuntungan operasi Kumpulan pada 4Q22, berbalik daripada kerugian pada tahun penuh berakhir 31 Disember 2021.

 

Sementara itu, segmen M&E menyaksikan `kelemahan' berterusan dalam sektor pembinaan dan hartanah, mencatatkan pendapatan RM41.9 juta pada 4Q22 berbanding RM47.9 juta sebelumnya.

 

Pada masa yang sama, kenaikan harga bahan mentah telah memampatkan margin keuntungan segmen itu, dengan keuntungan operasi merosot kepada RM2.4 juta pada 4Q22 daripada RM3.7 juta sebelumnya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Kejuruteraan Asastera Berhad, Dato’ Lai Keng Onn berkata, walaupun pasaran pembinaan dan hartanah kekal mencabar untuk segmen M&E, segmen SES telah muncul sebagai bintang yang semakin meningkat bagi Kumpulan dengan pertumbuhan pesatnya dalam pelbagai bentuk tenaga bersih dan boleh diperbaharui.

 

 

Dato’ Lai Keng Onn
                                 Dato’ Lai Keng Onn

 

 

Katanya, KAB telah berjaya berubah menjadi penyedia sehenti penyelesaian kejuruteraan dan tenaga, dan syarikat menyasarkan untuk menjadi peneraju di rantau Asia Tenggara.

 

Menurutnya, rumusan tenaga mampan yang komprehensif dan kepakaran kejuruteraan kami meletakkan kami sebagai peneraju teknologi, dan pembekal yang sangat boleh dipercayai kepada organisasi yang ingin mengoptimumkan penggunaan tenaga.

 

"Kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) kami baru-baru ini daripada Petronas Gas Berhad (PGB) untuk membina loji janakuasa gas 52MW, serta dilantik sebagai rakan kongsi teknikal mereka, menekankan lagi kekuatan peneraju industri kami untuk memenuhi kepada keperluan ketat syarikat multinasional utama.

 

"Kami akan terus meneruskan projek yang lebih besar untuk mempercepatkan pertumbuhan kami dalam sektor ini memandangkan tenaga lestari semakin dituntut oleh organisasi di seluruh dunia.

 

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan prestasi segmen SES akan terus bertambah baik, akhirnya mencapai 50% sumbangan keuntungan operasi dalam beberapa tahun akan datang,” ujar beliau.

 

Anak syarikat KAB, KAB Energy Holdings Sdn Bhd (KABEH) baru-baru ini menandatangani perjanjian pembelian saham dengan PGB untuk memperoleh 10% kepentingan dalam anak syarikat PGB Regas Terminal (Lahad Datu) Sdn Bhd (RGTLD) pada 9 Februari 2023, selepas memperoleh Surat Anugerah daripada RGTLD untuk EPCC loji janakuasa RM230 juta di Sabah. Kumpulan juga mengambil alih peranan rakan kongsi teknikal kepada PGB.

 

Buku pesanan Kumpulan daripada segmen kejuruteraan M&E dan SES meningkat kepada RM878 juta pada 31 Disember 2022 berbanding RM482 juta pada akhir 2021.

 

Portfolio SES KAB pada masa ini mempunyai sistem PV solar, penjanaan bersama, pemulihan haba-sisa dan aset biogas di Malaysia dan Thailand. - DagangNews.com