Permintaan rumah terus meningkat di sebalik cabaran global - PropertyGuru | DagangNews Skip to main content

Permintaan rumah terus meningkat di sebalik cabaran global - PropertyGuru

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Nov - Permintaan kediaman di Malaysia terus menunjukkan peningkatan dengan pasaran hartanah tempatan kekal berdaya tahan di sebalik berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi di peringkat global, demikian menurut kajian yang dijalankan PropertyGuru.

 

Ketua Risikan Hartanahnya, Dr Lee Nai Jia berkata, pasaran hartanah Malaysia menyaksikan peningkatan permintaan seperti di Thailand dan Indonesia, di samping berdaya tahan seperti pasaran Singapura dan Vietnam.

 

Berkongsi penemuannya dalam laporan bertajuk 'Asia Tenggara: Aliran Ekonomi Makro dan Kesan terhadap Pasaran Kediaman (Oktober 2022), beliau mendapati, sada suku kedua, pasaran hartanah di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Vietnam mencatatkan kenaikan harga, walaupun jualan di Singapura dan Vietnam semakin perlahan.

 

Di Thailand pula, meskipun harga rumah kekal konservatif, tetapi terdapat lonjakan permintaan yang kemungkinan mencerminkan pemulihan dalam pasaran.

 

"Terdapat lantunan umum di Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam berikutan pembukaan semula sempadan dan langkah-langkah yang lebih longgar bagi membendung penularan COVID-19.

 

"Faktor-faktor yang menyokong pertumbuhan pasaran Malaysia adalah - Malaysia dan Vietnam kedua-duanya merekodkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi, masing-masing pada kira-kira 8.9% dan 7.7% tahun ke tahun pada suku kedua 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Apabila ekonomi kembali kepada tahap sebelum pandemik, pasaran buruh menjadi lebih ketat di semua lima ekonomi pada suku kedua 2022.

 

Ini menjadikan kedukukan kewangan yang lebih baik dan memudahkan lagi pembayaran gadai janji serta keupayaan menaikkan harga yang diminta.

 

Dari segi pelaburan asing, rantau Asia Tenggara terus menjadi magnet bagi pelaburan langsung asing (FDI), yang secara langsung menyokong pertumbuhan pekerjaan dan membolehkan ekonomi pulih lebih cepat daripada kelembapan yang didorong oleh pandemik.

 

Malaysia menyaksikan lonjakan FDI sebanyak 264% kepada hampir AS$11.6 bilion pada 2021 (RM54.75 bilion) berbanding AS$3.2 bilion (RM15.1 bilion) pada 2020. 

 

Pada separuh pertama 2022, negara menarik pelaburan berjumlah AS$28 bilion (RM132.16 bilion) dengan AS$17.7 bilion menerusi sektor perkhidmatan.

 

Nai Jia berkata, tanpa sebarang kejutan besar kepada ekonomi pada masa akan datang, pertumbuhan ekonomi untuk Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand dijangka menyederhana pada separuh pertama 2023, manakala Vietnam diramalkan mengalami pengembangan ekonomi.

 

Katanya, pasaran kediaman di Malaysia dan Indonesia diunjur mengalami peralihan, di mana harga meningkat, tetapi jumlah jualan menurun pada separuh pertama 2023.

 

"Tidak semua kegawatan dalam pasaran global akan menggoyahkan keyakinan pelabur, walaupun masih terdapat beberapa perkembangan yang menggalakkan di rantau Asia Tenggara, terutama pasaran perumahan kediaman.

 

"Namun, namun peningkatan inflasi memerlukan kerajaan untuk meningkatkan kadar faedah, sekali gus mewujudkan keadaan kewangan yang lebih ketat," jelasnya. -DagangNews.com