Penting bagi Malaysia pulih daripada krisis pandemik, namun ketidakstabilan politik tidak boleh dielak - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Penting bagi Malaysia pulih daripada krisis pandemik, namun ketidakstabilan politik tidak boleh dielak - MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Dis - Biarpun berdepan ketidaktentuan pada 2023 terutamanya pertumbuhan global yang perlahan, MIDF Research yakin ekonomi Malaysia mampu mengharunginya disokong permintaan domestik yang kukuh. 

 

Malah, firma itu turut menjangkakan pasaran ekuiti akan mengalami pemulihan di sebalik ketidaktentuan ekonomi akibat tekanan terhadap penilaian yang berpunca daripada faktor luaran, dijangka mulai hilang.

 

Secara keseluruhan, pasaran dijangka berdepan fasa kebimbangan pada 2023 memandangkan ekonomi global akan mengalami kelembapan akibat dihambat pertumbuhan perlahan ekonomi negara maju. 

 

Memandangkan ketidaktentuan luar dan dasar kewangan yang mengetatkan banyak aktiviti ekonomi, ia meramalkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berada pada kadar sederhana iaitu 4.2% untuk 2023 berbanding 8% tahun ini. 

 

"Pertumbuhan yang perlahan ini disebabkan penurunan prestasi perdagangan luar. Bagaimanapun, kami optimis permintaan domestik akan memberi sokongan kepada ekonomi yang didorong perbelanjaan pengguna yang berterusan, tekanan harga sederhana, peningkatan dalam aktiviti berkaitan pelancongan dan kemungkinan pemulihan projek infrastruktur," katanya dalam laporan prospek ekonomi 2023 hari ini. 

 

 

midf
Pembentangan laporan prospek ekonomi pada 2023 yang MIDF Research dihadiri Pengarah/Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof; Pengarah/Ketua Strategi MIDF Research, Syed Muhammed Kifni Syed Kamaruddin dan Penganalisis MIDF Research, Abdul Mui'zz Morhalim, hari ini.

 

 

Dalam pasaran ekuiti, FBM KLCI memulakan tahun ini dengan positif berikutan pembukaan semula ekonomi. Di sebalik konflik Ukraine-Rusia, indeks utama itu mencatat kenaikan 1.3% pada suku pertama 2022.

 

Namun, momentum agresif Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan kadar dana persekutuannya sebanyak 375 mata asas setakat tahun ini menyebabkan prestasi KLCI menjadi negatif dengan mencatat penurunan -6.1% pada 5 Disember 2022. 

 

Impak ini tidak terhad kepada pasaran ekuiti Malaysia sahaja kerana pasaran global turut terjejas atau lebih teruk.

 

Sehubungan itu, MIDF Research menjangkakan faktor luaran seperti Fed akan terus menjadi faktor mempengaruhi pasaran ekuiti Malaysia pada 2023. 

 

"Fed dijangka memperlahankan kenaikan kadarnya pada 2023. Secara am, jangkaan kami menjelang 2023 ialah Fed sekadar berlegar dan risiko kemelesetan AS tidak begitu memberi kesan.

 

"Di samping itu, tiada peluasan perang Rusia-Ukraine di luar sempadan Ukraine dan pihak berkuasa China akan lebih bersedia mengendalikan ekonomi domestiknya (mengehadkan risiko penularan rentas sempadan)," jelasnya.

 

Firma itu berkata, pasaran ekuiti dan Fed yang agresif telah membawa kepada pengukuhan dolar AS pada 2022 dan menjangkakan ringgit akan mengukuh kepada RM4.30 dan mengakhiri 2023 pada nilai RM4.23.

 

Harga komoditi juga diunjur kekal tinggi dengan harga minyak mentah Brent berada pada purata AS$96 setong dan minyak sawit mentah pada purata RM3,500 satu tan metrik.

 

Pada 2023, ia menyasarkan KLCI akan berlegar sekitar 1,700 mata pada PER23 tersirat sebanyak 15.0 kali.

 

 

Fed AS

 

 

Dengan mengambil kira prestasi ekonomi yang menyakinkan, akan menyaksikan Bank Negara Malaysia (BNM) meneruskan normalisasi dasar pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pertama tahun hadapan pada Januari.

 

"Ini akan meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi. Ruang dasar monetari untuk bank pusat akan diberikan dengan OPR kembali ke paras normal pada 3.00% menjelang Januari, sekiranya berlaku kelembapan ekonomi global yang lebih teruk daripada jangkaan," katanya.

 

Menurut MIDF Research, adalah penting bagi Malaysia, pulih daripada krisis pandemik sejak dua tahun lalu dan memasuki 2023 dengan ekonomi global yang dikelilingi dengan risiko kelembapan, dasar monetari yang mengetatkan, harga komoditi tinggi dan konflik geopolitik.

 

Dengan pembentukan kerajaan baharu, ia percaya suhu politik negara sudah semakin mereda, mengurangkan ketidaktentuan dan meningkatkan sentimen pasaran serta pelaksanaan dasar yang lancar.

 

"Bagaimanapun, kami tidak menolak terdapat risiko ketidakstabilan politik dalam tempoh lima tahun akan datang terutamanya jika salah satu blok utama meninggalkan kerajaan.

 

"Jika Barisan Nasional (BN) keluar daripada kerajaan dalam tempoh terdekat, Pakatan Harapan (PH) dan pakatan Borneo masih boleh memerintah negara dengan majoriti yang tipis.

 

"Kami berpendapat reformasi dasar ekonomi yang besar mungkin tidak berjalan lancar dalam setengah dekad akan datang kerana pelbagai kepentingan dan pihak perlu wujud secara bersama," jelasnya. - DagangNews.com