Pengerusi Boustead Plantations, empat pengarah lain letak jawatan | DagangNews Skip to main content

Pengerusi Boustead Plantations, empat pengarah lain letak jawatan

Datuk Ismail Lasim

KUALA LUMPUR 1 Feb - Pengerusi Boustead Plantations Bhd Datuk Ismail Lasim dan empat pengarah bebas bukan eksekutif lain telah meletakkan jawatan daripada lembaga itu "untuk mengejar kepentingan lain".

 

Empat ahli lembaga pengarah tersebut ialah Mohd Azahar Ibrahim, Datuk Dr Din Adam, Datuk Abdul Ghani Abdul Rashid dan Datuk Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid, menurut pemakluman syarikat di Bursa Malaysia.

 

Mohd Azahar hanya dilantik menganggotai lembaga pengarah pada Ogos tahun lalu, manakala Din Adam dilantik sebulan kemudian.

 

Dengan peletakan jawatan ini, kumpulan perladangan ini memiliki lima ahli lembaga, terdiri daripada pengarah eksekutif dan pemangku CEO Fahmy Ismail, pengarah bukan eksekutif bebas Datuk Seri Khairuddin Abu Bakar, Tan Sri Aziah Ali, Dr Salihin Abang, dan pengarah bukan eksekutif bukan bebas Izaddeen Daud.

 

Fahmy dinamakan sebagai pemangku CEO selepas bekas CEO Zainal Abidin Shariff meletak jawatan pada November tahun lalu.

 

Pemerhati industri berpendapat peletakan jawatan Ismail Lasim yang juga merupakan ahli Majlis Tertinggi UMNO ada kaitan dengan dasar kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu pelantikan politik ditamatkan pada syarikat milik kerajaan.

 

Saham Boustead Plantations ditutup setengah sen atau 0.8% lebih rendah kepada 65.5 sen pada 31 Januari 2023, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sebanyak RM1.47 bilion. - DagangNews.com