Pendekatan tiada kelas akademik minggu pertama 2023 dianggap langkah positif | DagangNews Skip to main content

Pendekatan tiada kelas akademik minggu pertama 2023 dianggap langkah positif

Oleh Muhamad Addin Burhanuddin

SESI persekolahan 2023/2024 telah bermula bagi kedua negeri Kumpulan A (Johor, Terengganu, Kelantan, Kedah) dan Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan).

 

Menurut tinjauan, lebih 1.5 juta pelajar telah berdaftar dan rata-rata mereka sangat teruja dan juga bersemangat tinggi untuk memulakan sesi pembelajaran dan pengajaran mengikut kelas masing-masing sama ada di sekolah rendah mahupun sekolah menengah.

 

Terdapat sekolah yang menyambut pelajar mereka dengan pemakaian kostum kartun, persembahan silap mata dan pelbagai lagi demi menarik minat pelajar untuk ke sekolah.


 

parafrasa

 


Terciptanya Sejarah

Yang menariknya, sesi persekolahan kali ini juga turut mencipta sejarah. Pekeliling baharu Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tidak mengadakan kelas akademik pada minggu pertama sesi persekolahan 2023/2024 kali ini diperkenalkan.

 

Ia sekaligus membatalkan pekeliling asal yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau memegang jawatan Menteri Pelajaran kira-kira 34 tahun yang lepas.

 

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, bukan mudah untuk pihak kementerian membatalkan pekeliling asal tersebut.

 

Mereka mengambil masa yang agak lama untuk melihat dan memastikan pekeliling yang baharu ini dapat memberikan impak yang sangat baik kepada pelajar dan ia diterjemahkan kepada murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

 

Amanat Ketua Pengarah Pendidikan

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali dalam amanat beliau sempena pembukaan sesi persekolahan 2023/2024 berkata, tiada kelas akademik diadakan pada minggu pertama sesi persekolahan, bermula 19 Mac dan 20 Mac, sebaliknya ia diisi dengan penerapan nilai-nilai jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek.


 

parafrasa

 


Beliau berkata fokus hari pertama persekolahan sebelum ini adalah kepada akademik semata tetapi langkah yang diambil pada sesi kali ini adalah berbeza.

 

Guru boleh melaksanakan pendekatan berbentuk didik hibur dan pembelajaran berasaskan projek mudah ketika pengoperasian pengajaran dan pembelajaran (PdP) minggu pertama persekolahan bagi menarik minat murid untuk belajar.

 

Aktiviti-aktiviti yang menekankan nilai-nilai murni juga antara pengisian yang disarankan Kementerian Pendidikan dalam memberi persediaan rapi terhadap pembentukan murid di awal persekolahan.

 

“Sesuatu yang berjaya itu datang dari semangat, jiwa yang kuat, jiwa itulah yang mesti kita bentuk pada awal. Mana mungkin kita mulakan perlawanan tanpa ada warm up, tanpa ada sesi memanaskan badan.

 

“Bagi kami di KPM, surat pekeliling ikhtisas bilangan 5 tahun 2023 itu, memberi panduan supaya sekolah menyediakan anak-anak dari segi emosi, sesi warm up untuk mereka meneruskan pembelajaran yang panjang selama setahun, 190 hari jumlahnya,” ujar beliau ketika Amanat Pembukaan Sesi Persekolahan 2023/2024

 

Inti pati Pekeliling Baharu

Antara inti pati yang terdapat dalam pekeliling yang baharu ini adalah sesi minggu pertama persekolahan perlulah dimanfaatkan dengan perlaksanaan program atau aktiviti menyeronokkan yang dapat menyokong murid dan guru bersedia sepenuhnya dari aspek sosioemosi dan mental untuk melaksanakan proses pendidikan formal.


 

parafrasa

 


Proses pembukaan sekolah sewajarnya berjalan dalam suasana ceria, mesra dan selamat selaras dengan hasrat KPM melahirkan Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC).

 

Keduanya, antara aktiviti atau program yang dianjurkan hendaklah mempengaruhi adab, akhlak dan motivasi diri dalm pembentukan sahsiah berdasarkan aspek karamah insaniah. Program Transisi Tahun 1 2.0 bagi murid tahun 1 dan sekolah penyayang juga turut diteruskan.

 

Program Transisi Tahun Satu (PTTS) 2.0 dirangka bertujuan menyediakan murid daripada pelbagai latar belakang dan tahap penguasaan untuk menghadapi perubahan, menyesuaikan diri serta membina keyakinan diri dalam persekitaran baharu di sekolah rendah.

 

PTTS 2.0 dirangka dengan mengambil kira kurikulum prasekolah dan Tahun Satu dengan penekanan terhadap lima aspek iaitu sosioemosi, sikap dan nilai, kognitif, kreativiti dan estetika serta kesejahteraan fizikal dan kesihatan.

 

Rata-rata ibu bapa sangat positif dan pelajar sangat teruja berkenaan pekeliling baharu kementerian ini. Diharap pelajar juga bersedia sepenuhnya  untuk mengikuti pendidikan formal di sekolah rendah atau sekolah menengah dari aspek sosioemosi, jasmani, dan tahap penguasaan perkembangan kognitif.

 

 

parafrasa

 

 

Proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan dengan baik dapat mempengaruhi gaya pembelajaran para pelajar bagi memastikan perlaksanaan pembelajaran dalam kelas dapat diikuti dengan lebih berkesan.

 

Selamat maju jaya semua. Semoga anda semua memperolehi kejayaan dan cemerlang dalam kehidupan. – DagangNews.com

 

Muhamad Addin Burhanuddin adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Johor