KUALA LUMPUR 6 April - Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) mendakwa, pemain industri dan Kementerian Kesihatan (KKM) tidak berpeluang membuat sebarang perbincangan berhubung hala tuju yang bakal ditetapkan untuk produk vape, sejak penubuhan Kerajaan Madani.
Presiden MVIA, Rizani Zakaria berkata, sehingga kini, tiada sebarang perbincangan serta makluman berkenaan butiran kawal selia yang bakal diperkenalkan.
Katanya, industri tiada butiran jelas dalam kadar nikotin yang dibenarkan, bahan-bahan terlarang dalam cecair dan gel vape, serta spesifikasi produk dibenarkan untuk jualan serta pemasaran.
"Perkara ini tidak boleh ditangguhkan lagi. Perbincangan harus diadakan sekarang supaya keputusan tidak dibuat terburu-buru yang akan memberikan impak dan kesan kepada pemain industri.
"Pihak industri sedia untuk berbincang dengan KKM untuk mencari penyelesaian dalam perkara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Rizani berkata, pihaknya menyeru KKM untuk melibatkan industri dalam perbincangan membangunkan peraturan dan butiran dalam kawal selia.
Katanya, industri menyokong langkah untuk mengawal selia industri vape, selain libat urus dengan pemain industri adalah amat penting kerana peraturan ini bakal dilaksanakan ke atas industri dan butiran dalam peraturan harus dibincangkan bersama semua pihak.
"Industri menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengambil langkah dalam mengawal selia industri vape. Langkah seterusnya adalah untuk memperkenalkan peraturan serta butiran untuk mengawal selia industri ini," katanya.
"Oleh demikian kali ini, kerajaan perlu membuat perbincangan dengan industri dan mengambil kira pandangan semua pihak untuk memastikan peraturan yang bakal diperkenalkan adalah sesuai untuk dilaksanakan," katanya. - DagangNews.com