Pemain industri minyak dan gas tempatan terima manfaat daripada peningkatan perbelanjaan modal Petronas | DagangNews Skip to main content

Pemain industri minyak dan gas tempatan terima manfaat daripada peningkatan perbelanjaan modal Petronas

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Dis - Pemain industri minyak dan gas tempatan dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan dalam perbelanjaan modal domestik (capex) Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

 

Maybank IB Research memetik, kenaikan 34% dari tahun ke tahun dalam perbelanjaan domestik Petronas, berkata pilihan utamanya dalam sektor itu termasuk Yinson Holdings Berhad, Dialog Group Berhad dan Hibiscus Petroleum Berhad.

 

"Sementara itu Bumi Armada Berhad, Velesto Energy Berhad, Wah Seong Corporation Berhad dan Malaysian Marine & Heavy Engineering Holdings Berhad adalah syarikat bermodal kecil dan sederhana dengan penarafan 'beli'," katanya. 

 

Firma itu berkata, Petronas berada di landasan untuk mencapai sasaran pendapatan RM100 bilion bagi FY22 selepas syarikat minyak nasional itu mencatatkan keputusan kewangan 9MFY22 yang kukuh dengan keuntungan bersih teras RM72 bilion, meningkat 173%.

 

"Kami menjangkakan harga minyak akan kekal tinggi, memandangkan tempoh musim sejuk semakin hampir dan risiko geopolitik kekal tinggi," katanya, sambil menambah anggaran purata minyak Brent untuk FY22 tidak berubah, pada AS$100 (RM439.75) setong. 

 

"Kami tidak menolak unjuran harga minyak yang lebih tinggi pada FY23 memandangkan kekurangan bekalan di peringkat global disebabkan struktur yang kurang pelaburan sejak 2015,” katanya.

 

Maybank IB juga berkata, usaha Petronas dalam pengurangan pelepasan karbon dan meningkatkan peruntukan pelaburan bagi projek neutral karbon.

 

“Dengan laluan NZCE 2050 yang diumumkan pada 1 November 2022, Petronas telah menetapkan sasaran jangka pendek untuk menghadkan pelepasan operasi kepada 49.5 juta tan CO2e menjelang 2024 di Malaysia dan mencapai 25% pengurangan pelepasan di seluruh kumpulan menjelang 2030 (berdasarkan garis dasar 2019 ),” katanya.

 

Petronas akan memperuntukkan 20% daripada perbelanjaan modalnya untuk projek penyahkarbonan dan pengembangan kepada penyelesaian tenaga yang lebih bersih dalam tempoh lima tahun akan datang (2023 hingga 2026). 

 

Petronas menyasarkan peningkatan 50% dalam aliran tunai daripada operasi menjelang 2025 dan pertumbuhan 30% dalam hasil daripada perniagaan bukan tradisional baharu menjelang 2030. - DagangNews.com