Pangsapuri Saujana Indah di Johor Bahru dilancar dengan GDV RM437 juta | DagangNews Skip to main content

Pangsapuri Saujana Indah di Johor Bahru dilancar dengan GDV RM437 juta

Pangsapuri Saujana Indah

KUALA LUMPUR 29 Mac - LBS Bina Group Bhd. menerusi anak syarikatnya, MGB Bhd. melancarkan Pangsapuri Saujana Indah di Johor Bahru yang menawarkan kediaman dengan harga mampu milik dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM437 juta. 

 

Pangsapuri itu yang terdiri daripada 988 unit merangkumi dua buah menara dibangunkan di atas tanah pegangan bebas 1.05 hektar.

 

Pemaju hartanah itu berkata, Pangsapuri Saujana Indah yang terletak di tengah-tengah nadi permata Selatan yang sedang meningkat naik menawarkan beberapa jenis unit kediaman pangsapuri dengan harga bermula daripada RM352,000 seunit.

 

Menurutnya, terdapat dua buah menara kediaman, iaitu Menara A setinggi 37 tingkat terdiri daripada 393 unit dan Menara B, juga setinggi 37 tingkat dengan 595 unit.

 

Tambahnya, tarikan utama pembangunan ini adalah akses mudah melalui lebuhraya utama seperti, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Pantai Baru ke Bandar Iskandar Puteri, Lebuhraya Pasir Gudang, Lebuhraya EDL, Lebuhraya Pantai Timur JB dan Lebuhraya Senai-Desaru.

 

"Pembangunan ini juga terletak hanya 20 minit dari Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), dan menjadikannya lokasi yang amat sesuai bagi mereka yang kerap keluar negara.

 

"Pangsapuri Saujana Indah terletak di antara bandar Molek dan Johor Jaya yang sedang pesat membangun. Selain dari itu, Pangsapuri Saujana Indah ini juga terletak berdekatan dengan Kelab Golf Daiman 18, tumpuan ideal bagi penggemar sukan golf," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San berkata, Pangsapuri Saujana Indah menawarkan gabungan sempurna di antara harga mampu milik dan kemudahan, menjadikan ia ideal untuk keluarga dan warga kerja yang sedang mencari kehidupan serba selesa di Johor Bahru.

 

“Pangsapuri Saujana Indah adalah produk daripada sebuah syarikat yang mempunyai rekod prestasi kukuh dan mempunyai keupayaan pembinaan serta kekuatan kewangan yang teguh.

 

"Ini memberikan kami kelebihan di dalam menyiapkan projek tepat pada masanya, mengikut peruntukan bersesuaian yang mendorong sentimen keyakinan yang tinggi di kalangan bakal pembeli rumah,” katanya. - DagangNews.com