MVA gesa kerajaan pinda peraturan sedia ada kawal selia produk vape | DagangNews Skip to main content

MVA gesa kerajaan pinda peraturan sedia ada kawal selia produk vape

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 April - Malaysian Vapers Alliance (MVA) menggesa kerajaan meminda peraturan sedia ada bagi membolehkan kawalan ke atas produk vape sementara menunggu rang undang-undang baharu dibentang dan diluluskan dalam sidang Parlimen akan datang.

 

Presiden MVA, Khairil Azizi Khairuddin berkata, keputusan kerajaan memperkenalkan cukai ke atas produk vape dan mengecualikan e-cecair vape yang mengandungi nikotin sebagai bahan terkawal adalah langkah tepat dalam mengawal selia produk tersebut.

 

"Walaupun kerajaan telah menyatakan bahawa rang undang-undang baharu akan dibentangkan pada sesi Parlimen akhir Mei 2023, MVA berpendapat bahawa meminda peraturan sedia ada seperti Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 adalah penyelesaian segera kepada situasi semasa kerana tidak wujud kawalan untuk mengawal bahan dalam cecair vape.

 

"Dengan pindaan yang dibuat kepada undang-undang sedia ada di bawah kuasa yang diberikan kepada Menteri Kesihatan, industri akan mempunyai hala tuju jelas mengenai piawaian keselamatan dan kualiti yang perlu mereka patuhi serta pengguna akan mempunyai keyakinan mengetahui bahawa mereka mengakses produk terkawal.

 

"Meminda peraturan tembakau sedia ada untuk memasukkan produk vape juga akan membolehkan langkah segera diambil untuk mengelakkan produk daripada jatuh ke tangan golongan bawah umur," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Khairil, pihaknya juga menggesa semua pihak untuk melihat perkara itu secara objektif kerana selama ini, produk vape dengan nikotin boleh didapati secara meluas untuk dijual di Malaysia walaupun terdapat larangan di bawah Akta Racun. 

 

Katanya, mengekalkan e-cecair nikotin di bawah Akta Racun telah terbukti tidak berkesan dan semua pihak harus menyokong kerajaan dalam mengambil langkah untuk mengawal selia produk.

 

 

mva
                                Khairil Azizi Khairuddin

 

 

"MVA percaya keselamatan pengguna vape adalah yang terpenting, dan satu-satunya cara untuk melindungi mereka ialah memastikan produk mematuhi standard kualiti dan keselamatan yang tetap melalui peraturan," katanya.

 

Tambahnya, pihaknya percaya peraturan perlu seimbang dengan memastikan produk vape tidak dipasarkan atau dijual kepada golongan muda, selain boleh diakses perokok yang ingin beralih kepada alternatif yang kurang berbahaya.

 

Katanya, dengan peraturan yang betul, vape akan dapat membantu Malaysia mengurangkan kelaziman merokok di negara ini. - DagangNews.com