MPOC giat libat urus dengan EU tuntut perubahan lindungi sawit negara | DagangNews Skip to main content

MPOC giat libat urus dengan EU tuntut perubahan lindungi sawit negara

oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 22 Mac - Proses libat urus dengan Kesatuan Eropah (EU) bagi menuntut perubahan terhadap Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR) akan terus giat dilaksanakan, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

 

Menurut MPOC, delegasi pemimpin-pemimpin organisasi pekebun kecil utama Malaysia telah mengemukakan petisyen mengenai EUDR kepada ibu pejabat Suruhanjaya EU di Brussels, semalam.

 

Tindakan itu merupakan susulan daripada protes yang diadakan pada 15 Mac lalu oleh beratus-ratus petani kecil kelapa sawit dan getah daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil (NASH), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA), Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA), FELCRA Bhd dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

 

Petisyen itu, antara lain meminta pengesahan EU terhadap Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan mengeluarkan Malaysia daripada senarai negara-negara yang berisiko jika EUDR dilaksanakan.

 

Kumpulan tersebut mewakili 2.5 juta pekebun kecil Malaysia dan keluarga mereka.

 

Menurut MPOC, protes itu menyerlahkan kebimbangan mengenai kesan buruk peraturan yang dikenakan terhadap mata pencarian pekebun-pekebun kecil dan akses pasaran ini kerana sejumlah besar pekebun-pekebun kecil di Malaysia bergantung pada eksport minyak sawit untuk membantu mereka keluar daripada jurang kemiskinan dan menyokong kelestarian komuniti luar bandar.

 

"EUDR jelas membebankan mereka, mengancam mata pencarian dan kemakmuran masa depan mereka kerana ia akan menghalang petani kecil daripada mengakses pasaran Eropah, tindakan itu akan menjejaskan taraf hidup komuniti, mengurangkan pendapatan, dan menjejaskan Matlamat Pembangunan Mampan PBB," kata MPOC dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Belvinder Kaur Sron berkata, MPOC sentiasa menyokong penuh usaha pekebun-pekebun kecil Malaysia untuk membela keluarga dan komuniti mereka daripada sebarang halangan perdagangan.

 

"Minyak sawit Malaysia adalah mampan dan tidak boleh dianggap sebagai berisiko tinggi.

 

“MPOC akan terus mengadakan sesi libat urus bersama EU di Kuala Lumpur dan Brussels, tetapi keutamaan kami adalah untuk menyokong hak petani kecil untuk mengeluarkan dan mengeksport minyak sawit mereka,” katanya.

 

Justeru, beliau meminta EU supaya memberi pengecualian kepada pekebun-pekebun kecil di bawah EUDR dan menawarkan jaminan bahawa Malaysia tidak akan dianggap sebagai negara yang berisiko tinggi untuk penebangan hutan. - DagangNews.com