McDonald’s Malaysia buka pencalonan Anugerah Guru Inspirasi sehingga 15 April 2023 | DagangNews Skip to main content

McDonald’s Malaysia buka pencalonan Anugerah Guru Inspirasi sehingga 15 April 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Mac - McDonald’s Malaysia menganjurkan Anugerah Guru Inspirasi (AGI) untuk tahun ketujuh, dengan kolaborasi bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menghargai jasa guru.

 

Pencalonan kini dibuka bermula 20 Mac hingga 15 April 2023 dan masyarakat Malaysia dialu-alukan untuk menghantar kisah guru mereka yang telah mengubah hidup di samping memberi impak positif ke laman web AGI McDonald’s 2023.

 

Mengulas berkenaan anugerah tersebut, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata syarikat tersebut menyanjung tinggi sumbangan para guru untuk pembangunan berimpak positif kepada pelajar dari pelbagai aspek, akademi, ko-kurikulum dan pembangunan karakter.

 

“Tahun ini, buat pertama kalinya, McDonald’s Malaysia menyediakan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi penambahbaikan bilik guru kepada 25 guru inspirasi yang terpilih. 

 

Di samping itu, pencalon yang terdiri dari kalangan murid pula akan diberi Sijil Penyertaan Peringkat Kebangsaan,” tambah beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Bagi hadiah guru inspirasi, selain baucer hadiah wang tunai bernilai RM5,000, trofi dan sijil untuk individu, sekolah guru tersebut bertugas juga akan menerima peruntukan bernilai RM5,000 untuk menambah baik bilik guru. 

 

Bagi meningkatkan penglibatan pencalon dari kalangan murid sekolah, setiap pencalon yang layak akan menerima Sijil Penyertaan Peringkat Kebangsaan yang dapat menyumbang kepada markah pentaksiran aktiviti jasmani sukan dan kokurikulum (PAJSK) mereka di sekolah.

 

Kolaborasi McDonald’s Malaysia dan KPM bagi acara tahunan ini merupakan salah satu daripada inisiatif syarikati menyahut seruan kementerian yang mengalu-alukan penglibatan korporat dalam pelbagai projek bagi merealisasikan pendidikan manusiawi.

 

Selain dari majlis anugerah ini, syarikat itu juga akan menjemput guru terpilih dari seluruh negara menyertai sambutan Hari Guru di semua restoran McDonald’s dari 1 hingga 31 Mei 2023.

 

AGI McDonald’s merupakan acara tahunan sejak 2017 dan telah mendapat pengiktirafan KPM dan sejak mula dianjurkan, ia menjadi acara yang dinantikan dan berjaya menarik pencalonan setiap tahun. 

 

Sehingga tahun 2022, AGI McDonald’s telah merekodkan sebanyak lebih daripada 30,000 pencalonan dan seramai 131 guru inspirasi telah menerima anugerah tersebut sejak tahun 2017. 

 

Pemenang akan melalui proses pemilihan terperinci oleh panel hakim yang terdiri daripada wakil McDonald’s Malaysia, KPM dan pihak media. -DagangNews.com