Maybank IB unjur keuntungan FY23, FY24 Cahya Mata Sarawak masing-masing pada 15%, 7% | DagangNews Skip to main content

Maybank IB unjur keuntungan FY23, FY24 Cahya Mata Sarawak masing-masing pada 15%, 7%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Mac - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23/24) Cahya Mata Sarawak Berhad masing-masing sebanyak 15% dan 7%, dan mengekalkan tahun kewangan 2025 (FY25).

 

Sementara itu, kerugian diunjurkan sebanyak RM58 juta (sebelum kepentingan minoriti) pada operasi fosfat bagi FY23, menguncup kepada RM29 juta pada FY24 dan pulangan modal pada FY25 manakala sasaran dalaman adalah aliran tunai operasi pengendalian neutral pada FY23 dan pulang modal pada FY24, katanya dalam nota hari ini.

 

Walaupun masih banyak perlu dilakukan untuk meyakinkan pelabur bahawa isu tadbir urus pada 2021 hanya terjadi sekali sahaja, penilaian rendah kumpulan menggariskan kedudukan dominannya di Sarawak, yang dilihat terus meningkat, kata firma itu merujuk kepada siasatan undang-undang terhadap bekas ketua pegawai kewangan (CFO), Syed Hizam Alsagoff.

 

“Unjuran pendapatan yang disemak semula menggabungkan jangkaan kerugian daripada operasi fosfatnya dan sumbangan pendapatan kecil daripada Oiltools,” katanya.

 

Kilang fosfat RM1 bilion itu dijadualkan bermula operasi komersial secara berperingkat pada April 2023 dan secara penuh disasarkan akhir 2023.

 

Di samping itu, buku pesanan tertunggak AS$100 juta Oiltools akan bertahan selama tiga tahun, manakala buku tender semasanya adalah gabungan kontrak Petronas atau luar negara.

 

Firma itu berkata, empat bulan selepas pengambilalihan Oiltools pada 6 September 2022, syarikat itu telah menyumbang RM2 juta dalam keuntungan sebelum cukai (PBT) dan pendapatan sebanyak RM89 juta kepada CMS pada tahun kewangan 2022 (FY22), tidak termasuk muhibah negatif sebanyak RM71 juta.

 

“Ramalan pendapatan kami untuk CMS menganggap keuntungan Oiltools akan bertahan dengan menyumbang pendapatan RM260 juta dalam tahun kewangan 2023 (FY23),” tambahnya.

 

Selain itu, operasi simen dan pembinaan akan menambat pendapatan kumpulan memandangkan permintaan simen melantun semula 14% tahun ke tahun (YoY) kepada 1.5 juta tan metrik.

 

“Ramalan kami mengandaikan pertumbuhan permintaan 5% setahun dengan jualan mencecah tahap pra-pandemik, iaitu tahun kewangan 2019 (FY19), pada tahun kewangan 2024 (FY24),” kata firma itu.

 

Simen telah menyumbang RM80 juta PBT pada FY22 manakala bahan binaan CMS dan operasi perdagangan, yang telah menyumbang keuntungan RM33 juta pada FY22, akan terus mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Sarawak.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) disemak semula RM1.48. -DagangNews.com