Masalah buruh jadi halangan utama pemulihan sektor hartanah, kata penganalisis ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Masalah buruh jadi halangan utama pemulihan sektor hartanah, kata penganalisis ekonomi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Dis - Kenaikan kadar faedah, pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dan masalah lebihan bekalan dijangka akan terus mempengaruhi sentimen pembelian hartanah dalam tempoh terdekat, demikian menurut penganalisis ekonomi.

 

Malah, pemulihan sektor hartanah juga berdepan masalah buruh, yang boleh menjejaskan keupayaan pemaju untuk melancarkan lebih banyak projek baharu dan menyiapkan projek seperti dijadualkan.

 

Indeks Hartanah Bursa Malaysia (KLPRP) mencatat prestasi rendah dalam KLCI sebanyak 2.4% setakat ini, terutamanya diheret turun oleh prestasi harga saham yang lebih lemah dalam kalangan syarikat hartanah.

 

Data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan jumlah hartanah tidak terjual pada suku ketiga 2022 (mengikut nilai) berkurangan 6% kepada RM48.9 bilion berbanding RM51.9 bilion pada 2021 manakala jumlah hartanah tidak terjual (mengikut unit) menyaksikan penurunan 14%.

 

Namun, penganalisis CGS-CIMB Research berkata, Ngo Siew Teng berkata, ia masih jauh lebih tinggi daripada paras sebelum COVID-19 (2018-2019) sekitar RM36 hingga RM42 bilion, menandakan lebihan bekalan masih berterusan dalam sektor hartanah.

 

Ini mendorongnya mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor itu setelah mengambil kira kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak dua kali pada 2023 yang turut dipengaruhi kelembapan pertumbuhan ekonomi, lebihan bekalan dan masalah buruh.

 

Di bawah Bajet 2023 (yang dibentangkan 7 Oktober lalu), pengecualian duti setem akan ditingkatkan kepada 75% bagi pembeli rumah pertama berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta dan skim jaminan kredit perumahan akan dinaikkan kepada RM3 bilion (daripada RM2 bilion di bawah Bajet 2022) bagi membantu mereka yang tidak mempunyai pendapatan stabil memiliki rumah.

 

"Langkah-langkah ini mungkin dapat merangsang minat belian dalam kalangan pembeli rumah kali pertama untuk hartanah dalam julat harga tersebut dan pembeli rumah tanpa pendapatan tetap.

 

"Tetapi, persekitaran makro seperti kenaikan kadar faedah dan kelembapan ekonomi pada tahun hadapan akan menjejaskan sentimen pembeli," katanya dalam nota kajian.

 

 

gambar hiasan

 

 

Sementara itu, penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Tan Kai Shuen berkata, dinamik sektor ini dalam tempoh jangka panjang semakin pulih apabila isu lebihan bekalan perumahan semakin reda, seterusnya menyokong kenaikan harga rumah yang lebih sihat.

 

Menurutnya, permintaan dalam tempoh terdekat kekal utuh meskipun terdapat prospek jangka panjang masih samar disebabkan ketidakstabilan ekonomi global.

 

Pada masa sama, katanya, masalah kekurangan buruh masih menjadi halangan utama kepada pemulihan sektor hartanah ekoran kenaikan kos buruh yang turut berpunca daripada peningkatan gaji minimum.

 

"Namun, kemasukan buruh akan bermula secara berperingkat-peringkat pada suku keempat tahun ini, dengan situasi itu dijangka pulih pada suku kedua hingga ketiga 2023. 

 

"Bagi pemaju yang mempunyai projek berterusan yang mencukupi dan inventori lengkap, mereka berkemungkinan akan kekal berhati-hati dan mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk melancarkan projek baharu memandangkan bekalan buruh kekal ketat manakala kos bahan binaan masih belum stabil.

 

"Harga bar keluli telah turun daripada kemuncak pada pertengahan tahun sekitar 15 hingga 20%, tetapi harga simen meningkat semula dengan paras semasa sepadan dengan paras puncaknya pada pertengahan tahun," katanya.

 

Dengan mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah, beliau menasihati pelabur supaya memilih saham syarikat hartanah yang mampu mengharungi kelemahan pendapatan dalam tempoh jangka pendek ekoran kemajuan pembayaran yang lebih perlahan. - DagangNews.com