Manfaatkan pemberian dos penggalak di semua fasiliti kesihatan kerajaan - UMVOICE | DagangNews Skip to main content

Manfaatkan pemberian dos penggalak di semua fasiliti kesihatan kerajaan - UMVOICE

Elak risiko jangkitan berulang, rakyat sihat pemacu pembangunan ekonomi negara lebih mampan
Oleh DR SAZALI BASRI

NEGARA kini masih dalam keadaan berwaspada berhadapan situasi semasa walaupun kadar jangkitan dan kematian akibat serangan COVID-19 masih terkawal.

 

Ini berikutan kemunculan pelbagai varian baharu turut memberi risiko jangkitan berulang kepada rakyat.

 

Kewaspadaan ini penting supaya masyarakat terus sihat dengan tahap kesihatan terbaik kerana kesejaheraan umum menjadi pemangkin kepada kestabilan ekonomi negara secara menyeluruh.

 

Kesihatan berpanjangan menjurus kepada peningkatan pendapatan diri dan keluarga, produktiviti di tempat kerja, sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi  dan kesejahteraan masyarakat.

 

Kebolehan negara mengawal COVID-19 akan merancakkan lagi sektor ekonomi, selain meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan.

 

Berhadapan situasi ini juga, semua pihak terutama majikan perlu peka akan keperluan perlindungan kakitangan mereka. Ini berikutan ancaman daripada Varian XBB subvariant omicron atau dikenali sebagai Kraken turut menular di negara ini sejak Oktober lalu.

 

 

DR SAZALI BASRI
                                 DR SAZALI BASRI

 

 

Varian baharu ancam kesihatan

Orang ramai disaran mengambil vaksin dan dos penggalak walaupun dalam keadaan terkawal, ini berikutan sejak Ogos tahun lalu, varian terbaharu dari China iaitu BA.5.2 dan BF.7 sudah berada di negara ini. Kes ini menyumbang kepada 97.5 peratus daripada semua jangkitan tempatan.

 

Keberadaan dua varian ini menunjukkan bahawa ancaman  masih ada walaupun risiko serangan dan peratus kematian adalah rendah. Data terbaharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), melaporkan sub-varian ini sudah lama dikesan di negara ini iaitu sejak Ogos 2022 lagi.

 

Sehingga 31 Disember 2022, data terkini mendapati 4,152 kes dijangkiti dengan BA.5.2 dan 3 kes varian BF.7 dikesan.

 

COVID-19 ini mampu dikawal  pendekatan masyarakat dan kerajaan secara menyeluruh menerusi konsep “whole-of-society” dan “whole-of-government”.  Langkah pencegahan secara saintifik perlu dikekalkan selain memperkemas kaedah pemberian vaksin secara berkesan.

 

 

parafrasa

 

 

UMVOICE kongsi kepakaran

Berhadapan situasi semasa, sebuah platform ditubuhkan iaitu Universiti Malaya Vaccine Communication Collaborative Effort (UMVOICE) bertujuan meningkatkan kesedaran umum mengenai pentingnya pengambilan vaksin dan dos penggalak bagi mengelak jangkitan berulang.

 

UMVOICE menyarankan semua terutamanya golongan rentan seperti warga emas, individu yang mempunyai sistem pertahanan badan yang rendah. mereka yang berhadapan masalah kesihatan digalak mengambil dos penggalak kedua sebagai ikhtiar meningkatkan sistem imun badan bagi mengelak risiko jangkitan.

 

Perkongsian maklumat daripada pakar ini merangkumi aspek komunikasi berkesan, inovasi dan kepercayaan mengenai kepentingan penjagaan kesihatan secara berterusan. Maklumat ini perlu disalurkan dari semasa ke semasa kerana umum beranggapan kita sudah bebas daripada serangan COVID-19.

 

Orang ramai sering lupa dengan menganggap COVID-19 sudah tiada, sebenarnya tidak kerana kehadiran varian baharu tetap ada walaupun risikonya rendah dan kita masih belum bebas daripada risiko dijangkiti.

 

Walaupun kes tidak seteruk dahulu, namun kesedaran umum perlu ada dengan mengambil langkah perlindungan. Keadaan lebih mengelirukan berikutan penyebaran maklumat kurang tepat mengenai keberkesanan dan keselamatan vaksin.

 

 

parafrasa

 

 

Tingkat sistem imun badan

Dalam usaha kerajaan menangani masalah ini, malangnya masih ada segelintir pihak enggan melengkapkan pengambilan vaksin. Laporan mendapati orang ramai kurang memanfaatkan tawaran mendapatkan dos penggalak di semua fasiliti kesihatan kerajaan. Tanpa mereka sedari keengganan itu mengundang risiko jangkitan mahupun jangkitan berulang hingga meragut nyawa.

 

Pengambilan dos penggalak penting kerana kadar antibodi akan berkurangan dalam tempoh enam bulan. Pengambilan dos penggalak pertama atau kedua penting bertujuan meningkatkan sistem pertahanan badan bagi mengelak risiko jangkitan berikutan penularan varian XBB ini.

 

Ini kerana jangkitan boleh berlaku disebabkan oleh “immune escape” yang lebih tinggi oleh varian XBB. Peningkatan kes yang sering dilaporkan disebabkan tahap antibodi berkurangan terutamanya bagi mereka yang pernah dijangkiti atau menerima vaksinasi lebih enam bulan lalu. Keadaan ini menyebabkan jangkitan semula boleh berlaku.

 

Inisiatif  pencegahan

Di samping itu, orang ramai perlu mengambil langkah pencegahan dengan memakai pelitup muka terutamanya ketika berada di tempat awam. 

 

 

parafrasa

 

 

Pencegahan lain termasuk kerap membasuh tangan dan mengelakkan diri daripada berada di tempat sesak.

 

Apa yang lebih penting ialah, jika anda merasakan diri bergejala, terus jalani ujian COVID-19 selain mengamalkan isolasi sendiri secara positif. Pendekatan ini  membantu mengurangkan risiko jangkitan.

 

Pakar di UMVOICE juga mengingatkan bahawa risiko  serangan ini boleh dielak, ini berikutan jangkitan COVID-19 juga memungkinkan seseorang menghidap Sindrom COVID-19 berpanjangan atau “long-COVID syndrome”.

 

Kesan lebih serius boleh berlaku termasuk gangguan kesihatan mental disebabkan jangkitan dan juga kesan emosi kehilangan orang tersayang yang juga ketua keluarga. – DagangNews.com

 

 

 

Dr Sazali Basri adalah Pakar Klinikal Unit Penyakit-Penyakit Berjangkit/Panel UMVOICE Jabatan Perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya