Malakoff sasar tingkatkan kapasiti RE kepada 1,400MW menjelang FY31 | DagangNews Skip to main content

Malakoff sasar tingkatkan kapasiti RE kepada 1,400MW menjelang FY31

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Okt - Malakoff Corp. Bhd. menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada 1,000MW dalam tempoh empat tahun lagi berbanding 40MW ketika ini, menurut AmInvestment Bank. 

 

Malah, ia juga meletakkan sasaran untuk mencapai 1,400MW kapasiti RE menjelang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2031 (FY31), yang akan dilaksanakan melalui pelbagai langkah antaranya, merancang untuk membida projek solar berskala besar (LSS) dan sisa-ke-tenaga (WTE).

 

Firma itu berkata, Malakoff turut memberi tumpuan kepada projek solar atas bumbung di Malaysia dan menyahkarbonisasi loji janakuasa arang batunya bagi mencapai sasaran ditetapkan.

 

Katanya, dalam usaha menyahkarbonisasi operasi arang batu, Malakoff sedang meneroka pilihan pembakaran bersama menggunakan ammonia/hidrogen dan biojisim.

 

"Ini menyaksikan kumpulan telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Itochu Corporation untuk menjalankan kajian mengenai penggunaan ammonia/hidrogen di loji arang batunya di Johor.

 

"Setelah selesai kajian ini, Malakoff akan menjalankan projek perintis di kilangnya di Johor," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' terhadap Malakoff dengan nilai wajar tidak berubah pada 79 sesaham.

 

Menurutnya, Alam Flora akan membangunkan Kemudahan Penerimaan Pelabuhan (PRF) di pelbagai pelabuhan di Malaysia. 

 

Pada masa ini, Alam Flora sedang membangunkan Kompleks Sisa Pemulihan Eko Bersepadu (IERC) di Pelabuhan Klang yang dijangka siap pada FY23.

 

Setelah siap, kompleks itu akan mengendalikan dan memproses sisa minyak yang ditinggalkan oleh kapal di pelabuhan. Minyak pelincir yang diproses kemudiannya akan dijual kepada syarikat automotif.

 

Kumpulan juga dalam proses melengkapkan lebih banyak PRF di seluruh negara, sebagai tambahan kepada Northport.

 

Alam Flora telah memulakan operasi di kemudahan sisa pembinaan dan perobohan pertamanya (17 tan sehari) di Kuantan, Pahang pada September 2022.

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan hasil IERC di Klang tidak akan memberi sumbangan ketara pada FY23 kerana ia mengambil masa sebelum pengeluaran ditingkatkan.

 

Katanya, Alam Flora menyumbang sebanyak 37% daripada keuntungan bersih Malakoff pada separuh pertama FY22.

 

"Pada kapasiti penuh, IERC mengendalikan 5,000 tan sisa buangan minyak sebulan. Pada separuh pertama 2022, Alam Flora mengendalikan 585,700 tan sisa buangan di bawah konsesi perniagaan dan 459,400 tan sisa buangan di bawah unit bukan konsesi," katanya.

 

Setakat 11.52 pagi, harga saham Malakoff menokok 1 sen atau 1.61% kepada 63 sen dengan 329,700 saham diniagakan. - DagangNews.com