Majikan digesa jangan abaikan aspek berkaitan standard buruh asing - Sivakumar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Majikan digesa jangan abaikan aspek berkaitan standard buruh asing - Sivakumar

Oleh DIYANA ISAMUDIN

PUTRAJAYA 19 Jan - Majikan di negara ini digesa supaya tidak mengabaikan aspek-aspek asas berkaitan dengan standard perburuhan pekerja asing, tegas Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

 

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama agar gaji bulanan dibayar kepada pekerja termasuk gaji minimum dan caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

 

Di samping itu, katanya, majikan perlu memberi kerjasama dan sokongan dalam menjayakan pelaksanaan Pelan Pelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang telah diumumkan pada 17 Januari lalu.

 

“Pelaksanaan pelan ini akan mempercepatkan proses permohonan serta kelulusan penggajian pekerja asing di sektor-sektor kritikal dengan penglibatan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar

 

Proses naziran bersama oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan dibuat selepas tempoh enam ke tujuh bulan daripada tarikh kelulusan kuota namun aspek-aspek standard perburuhan tidak wajar diabaikan.

 

Sivakumar juga mahu majikan memastikan dokumen-dokumen untuk menyokong permohonan kuota pekerja asing yang dikemukakan adalah sahih kerana sebelum ini terdapat kes-kes permohonan melibatkan dokumen palsu.

 

Beliau menambah, pihak kementerian akan memastikan kelulusan kuota yang diberikan memenuhi keperluan sebenar guna tenaga negara.

 

“Adalah penting untuk kita semua memastikan imej dan kredibiliti negara terjamin tanpa berkompromi terhadap kebajikan dan hak-hak pekerja seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” jelasnya. - DagangNews.com