Lim Guan Eng mohon maaf kepada Premier Sarawak, GPS atas kenyataan menyinggung perasaan | DagangNews Skip to main content

Lim Guan Eng mohon maaf kepada Premier Sarawak, GPS atas kenyataan menyinggung perasaan

KUALA LUMPUR 24 Nov - Selepas Setiausaha Agung DAP, kini giliran Pengerusi DAP Lim Guan Eng pula memohon maaf kepada Premier Sarawak dan kerajaan GPS Sarawak atas kenyataan-kenyataan beliau yang menyinggung perasaan.

 

"Saya memohon maaf sekiranya sebarang kenyataan saya telah menyinggung Premier Sarawak dan kerajaan GPS Sarawak.

 

"Masa depan negara mendahului segala-galanya.

 

"Kita sama-sama mengorak permulaan baru untuk berganding bahu demi memelihara kemajmukan, keterangkuman serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan budaya dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan demi kebaikan semua di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak," katanya dalam hantaran di laman facebook rasminya hari ini.

 

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mewakili parti itu memohon maaf secara terbuka atas sebarang kenyataan pemimpin parti itu yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak.

 

"Saya mewakili pihak DAP untuk memohon maaf secara terbuka," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut Loke, pada pagi ini, beliau telah membuat kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg di kediaman beliau di Kuching. Turut hadir bersama ialah Timbalan Premier Sarawak, Prof. Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.  - DagangNews.com