Lebih 5,000 graduan bakal terima ijazah, diploma pada Majlis Konvokesyen UPM ke-46 | DagangNews Skip to main content

Lebih 5,000 graduan bakal terima ijazah, diploma pada Majlis Konvokesyen UPM ke-46

 Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman berucap pada Majlis Konvokesyen UPM di Kampus Bintulu pada 1 November 2022.

SERDANG 24 Nov - Seramai 5,688 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen UPM ke-46 sidang dua pada Sabtu ini hingga 2 Dis depan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM di sini. 

 

Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata pada sidang itu, 517 akan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (1,501), Sarjana Muda (3,667) dan Diploma (tiga). 

 

Beliau berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Canselor UPM berkenan  mengurniakan ijazah PhD, Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma kepada graduan pada hari pertama konvokesyen. 

 

Menurut Mohd Roslan, Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan  Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Perniagaan  kepada pemenang Nobel Peace Laureate Prof Dr Muhammad Yunus dan Pengurniaan Gelaran Profesor Emeritus (secara Anumerta) kepada Allahyarham Prof Dr Mahiran Basri.

 

“Baginda juga berkenan mengurniakan hadiah kepada semua pemenang hadiah peringkat universiti termasuk Hadiah Pingat Emas Canselor kepada Syed Alif Imran Syed Khairil Akhbar daripada program Sarjana Muda Sains Biologi dengan Kepujian,” katanya pada sidang media hari ini.

 

 

UPM

 

 

Selain itu, baginda turut berkenan mengurniakan Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) kepada graduan Sarjana Muda Sains Biologi dengan Kepujian,  Sarah Nabilah Hamdan;  Anugerah Pelajaran Diraja (bukan Bumiputera) kepada graduan Sarjana Muda Pentadbiran Peniagaan, N. Misha;  Pingat Emas Alumni (graduan Sarjana Muda Sains Perhutanan Tan Kim Hock) dan Pingat Emas Yayasan Pak Rashid (graduan Sarjana Muda Sains Fizik dengan Kepujian Goh Yong Shen).

 

Pingat Putra Agribio (graduan Sarjana Muda Sains Hortikultur Melissa Lok Mei Teng); Pingat Razlan Putra (graduan Sarjana Muda Pendidikan Jasmani Muhammad Safiy Md Said); Anugerah Keusahawanan Pengusaha Stesen Shell (graduan Sarjana Muda Sains dan Teknologi Makanan Adlina Jamaludin; Anugerah Tun Abdul Razak (graduan Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia Jessy Usun Francis) serta  Pingat Emas Doktor Falsafah Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals (graduan PhD Kejuruteraan Bahan L.Tamil Moli).

 

Pingat Emas Master dengan Thesis (graduan Sains Kejuruteraan Bahan Muhammad Harussani Moklis);  Pingat Emas BasNet Doktor Falsafah (graduan PhD Sains Sukan Sun He), Hadiah Syed Kechik (graduan Sarjana Muda Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu dengan Kepujian Aidil Asyraaf Abdullah).

 

Sementara itu, Mohd Roslan berkata atlet Gimnastik Artistik yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2022 Rachel Yeoh Li Wen dan pemain skuad bola jaring kebangsaaan An Najwa Azizan merupakan antara atlet yang akan menerima ijazah masing-masing.

 

 

UPM
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah

 


Majlis konvokesyen sebanyak tujuh sesi itu akan turut disempurnakan tiga Pro-Canselor UPM iaitu Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah pada sesi keempat dan kelima pada 29 dan 30 Nov, Prof Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaluddin Syed Salim (27 dan 28 Nov), Prof Emeritus Datuk Dr Muhamad Zohadie Bardaie (1 dan 2 Dis).

 

Mohd Roslan berkata UPM turut mengambil peluang menampilkan pakar-pakar pertanian semasa Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen di reruai Klinik Pertanian serta menjual hasil pertanian sepanjang majlis konvokesyen itu. 

 

“Seluruh masyarakat sekitar dijemput mengambil peluang ini untuk bertemu dan mendapatkan khidmat nasihat pakar-pakar UPM,” katanya. - DagangNews.com