Lebih 145,000 peniaga Shopee capai pertumbuhan jualan sebanyak 25% | DagangNews Skip to main content

Lebih 145,000 peniaga Shopee capai pertumbuhan jualan sebanyak 25%

KUALA LUMPUR 6 Dis - Lebih 145,000 peniaga tempatan berjaya mencapai pertumbuhan jualan sebanyak 25% tahun ke tahun di Shopee dalam tempoh 12 bulan sehingga September 2022.

 

Hasil kajian Pencapaian Shopee Super Awards 2022 mendapati kejayaan itu dipacu oleh tahap khidmat pelanggan serta keupayaan kedai yang memberangsangkan.

 

Shopee berkata syarikat itu turut melakukan penyepaduan serta meningkatkan kemahiran lebih daripada 251,000 peniaga tempatan yang memulakan usaha perniagaan secara dalam talian pada tahun ini.

 

“Ini termasuk lebih daripada 140 peniaga baharu yang mencatat jualan melebihi RM500,000 pada tahun ini.

 

“Mereka berjaya mengatasi rakan setara dengan tahap penarafan kedai masing-masing lebih 4.8 (daripada markah penuh sebanyak 5), kadar penunaian tepat pada masanya sebanyak 97% dan kadar sembang aau respons dengan pelanggan yang pantas pada 116 minit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Bernama.

 

Shopee berkata, kemampuan mereka mengekalkan pelanggan setia dan menurunkan kos pemasaran setakat tahun ini, menyaksikan lebih 2,100 penjual tempatan mencatat jualan melebihi RM5 juta sejak beroperasi di platform tersebut.

 

Bagi 2021, penjual terbabit mengekalkan penarafan 4.9 (daripada 5), tempoh respons pantas 125 minit manakala 99% mencatat penghantaran tepat pada masanya.

 

Katanya, lebih 1,700 peniaga tempatan yang mengusahakan jualan barangan asli buatan Malaysia mencatat jualan RM1 juta sejak menyertai pasaran itu susulan kejayaan pelbagai kempen e-dagang tempatan dan platform hiper oleh Shopee.

 

“Kalangan usahawan tempatan ini menyediakan barangan berkualiti yang menepati pilihan rakyat Malaysia dengan purata pemarkahan atau penarafan kedai sebanyak 4.9 daripada 5 manakala 98% pesanan telah dihantar tepat pada masanya," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Kempen Pemasaran Shopee Malaysia Kenneth Soh berkata syarikat itu gembira dengan pencapaian  komuniti penjual, jenama dan bakat di pasaran itu, terutamanya menjelang acara Anugerah Super Shopee pada 15 Disember 2022.

 

“Hasil daripada usaha bersama dan kesemua pengalaman beli-belah menarik yang mereka lakukan untuk pembeli secara dalam talian telah membolehkan Shopee meraih tempat pertama Kedudukan Jenama Terbaik YouGov di Malaysia selain Jenama Malaysia Paling Kukuh Kantar bagi kategori Peruncit Am dan Aplikasi Gaya Hidup,” katanya.

 

Majlis Anugerah Super Shopee itu bertujuan mengiktiraf peniaga dengan prestasi terbaik serta pempengaruh cemerlang tahun ini mengikut kategori industri masing-masing.

 

Antara yang akan diumumkan termasuk pemenang anugerah e-dagang seperti Peniaga Dengan Pertumbuhan Super, Jenama Prestasi Operasi Super dan Penstriman Langsung Super. - DagangNews.com