Laporan SC : Penyertaan wanita dalam lembaga pengarah meningkat 34% pada tahun ini | DagangNews Skip to main content

Laporan SC : Penyertaan wanita dalam lembaga pengarah meningkat 34% pada tahun ini

KUALA LUMPUR 1 Dis - Pelantikan wanita dalam ahli lembaga syarikat tersenarai awam (PLC) meningkat kepada 34% pada tahun ini berbanding 23% bagi 2021, menurut laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat (CG Monitor) 2022 yang dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini. 

 

Malah, ia mendapati sebanyak 80% daripada pengarah wanita yang dilantik adalah untuk jawatan pengarah bebas.

 

Ini secara tidak langsung mengurangkan kebimbangan bahawa peraturan mandatori untuk mempunyai
sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita dalam lembaga pengarah akan membawa kepada pelantikan individu berkaitan seperti ahli keluarga.

 

 

awang adek
Awang Adek Hussin

 

 

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, beliau berpuas hati dengan PLC kerana terus mempertingkatkan amalan terbaik CG di sebalik persekitaran yang mencabar.

 

Katanya, tadbir urus yang baik kekal sebagai asas perniagaan dan merupakan kunci untuk mengekalkan ketelusan dan akauntabiliti.

 

"Keadaan ini akan memupuk kemampanan dan membantu syarikat merealisasikan faedah jangka panjang termasuk mengurangkan risiko, merebut peluang pertumbuhan, meningkatkan nilai pemegang saham dan memenuhi jangkaan pemegang kepentingan yang berubah-ubah," katanya dalam kenyataan.

 

Berdasarkan laporan itu, PLC terus mengambil langkah proaktif dalam menangani risiko dan peluang kemampanan serta menerima pakai amalan terbaik tadbir urus korporat seperti yang disyorkan dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG), termasuk amalan terbaik baharu yang diperkenalkan dalam semakan MCCG 2021, khususnya berkaitan kemampanan.

 

Ini termasuklah memastikan lembaga pengarah dan pengurusan kanan menjalani latihan berkala bagi mengikuti perkembangan isu kemampanan berkaitan syarikat, dengan sebanyak 58% daripada kalangan PLC mempunyai jawatankuasa khusus atau peranan dalam pengurusan kanan yang bertanggungjawab ke atas pengurusan strategik kelestarian untuk syarikat.

 

SC juga mendapati PLC telah menetapkan dan komited kepada sasaran pengurangan pelepasan termasuk mencapai neutral karbon menjelang 2030 serta sifar bersih menjelang 2050, berdasarkan semakan terhadap 50 PLC yang terdiri daripada, antara lain, PLC besar yang beroperasi dalam tenaga, perladangan, dan sektor pengangkutan dan logistik.

 

Lebih separuh daripada PLC juga mendedahkan data berkaitan pelepasan walaupun sebelum diwajibkan oleh Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia. 

 

Semua PLC dikehendaki mendedahkan data berkaitan pelepasan dalam laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya.

 

 

suruhanjaya sekuriti

 

 

Sementara itu, laporan itu juga menunjukkan penerimaan keseluruhan MCCG menggalakkan dan ditambah baik dalam kualiti pendedahan untuk beberapa amalan terbaik meskipun terdapat perkara yang masih boleh ditambah baik.

 

Khususnya, penggunaan amalan yang berkaitan dengan pendedahan imbuhan pengurusan kanan kekal rendah, dengan sedikit peningkatan pada 2022.

 

Didapati hanya 22% (berbanding 21% pada 2021) daripada PLC mendedahkan imbuhan pengurusan kanan
dalam kumpulan RM50,000 atau mengikut jumlah yang tepat.

 

Pihak berkepentingan, terutamanya pelabur institusi, terus menyokong ketelusan dan penjajaran yang lebih baik antara gaji dan prestasi, termasuk Majlis Pelabur Institusi Malaysia seperti yang ditonjolkan dalam semakan terbaharu Kod Pelabur Institusi Malaysia. 

 

Dalam hal ini, SC dan Bursa Malaysia akan menjalankan kajian yang lebih mendalam mengenai perkara berkenaan. -DagangNews.com