Konsortium Kerjaya Prospek raih kontrak bina kilang bernilai RM1.45 bilion di Melaka | DagangNews Skip to main content

Konsortium Kerjaya Prospek raih kontrak bina kilang bernilai RM1.45 bilion di Melaka

KUALA LUMPUR 26 Okt - Kerjaya Prospek Group Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM1.45 bilion daripada Texas Instruments Electronics Malaysia Sdn. Bhd. untuk membina kilang di Melaka.

 

Kontrak itu diperoleh menerusi konsortium yang dibentuk oleh anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn. Bhd. (KPM) dan Samsung C&T (KL) Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Samsung C&T Corp., firma kejuruteraan dan pembinaan Korea Selatan yang disenaraikan di Korean Stock Exchange.

 

Usaha sama tersebut menerima surat anugerah untuk membina dan menyiapkan pembinaan kilang Bump/Probe/AT TIEM2 di Taman Perindustrian Batu Berendam, Zon Perdagangan Bebas.

 

"Projek ini akan bermula pada 21 November 2022 dan mengambil masa selama 28 bulan untuk disiapkan," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Samsung C&T memiliki 70% pegangan dalam usaha sama itu manakala baki 30% dimiliki KPM.

 

Menurut Kerjaya Prospek, kontrak tersebut dijangka menyediakan aliran pendapatan kepada kumpulan dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang dan juga meningkatkan nilai kontrak sedia ada.

 

"Ia dijangka tidak memberi kesan kepada terbitan modal saham tetapi kumpulan menjangkakan ia akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 2022 hingga 2025," tambahnya. - DagangNews.com