Kenderaan MT 815 buatan Cendana Auto jadi aset logistik baharu Tentera Darat  | DagangNews Skip to main content

Kenderaan MT 815 buatan Cendana Auto jadi aset logistik baharu Tentera Darat 

Kenderaan pembawa mortar MT 815 buatan Cendana Auto.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

ASPEK logistik dan mobiliti Tentera Darat terus diperkasakan apabila angkatan berkenaan bakal menerima 102 kenderaan pembawa mortar (mortar transporter) untuk kegunaan infantri.

 

Kenderaan pembawa mortar jenis MT 815 buatan syarikat automotif tempatan, Cendana Auto Sdn. Bhd. (Cendana Auto) akan diterima secara berperingkat-peringkat.

 

Difahamkan sebanyak 72 buah kenderaan itu akan dihantar tahun ini manakala bakinya pada tahun hadapan.

 

Walaupun bukan perolehan aset tempur, namun kemampuan sesebuah angkatan tentera juga berkait rapat dengan aset atau logistik yang dimiliki. 

 

Ini kerana aspeki logistik merupakan tunjang dalam menyokong keberkesanan fungsi khususnya bagi ketumbukan penting seperti infantri.

 

 

MT815

 

 

Kenderaan MT 815 ini ialah untuk membawa mortar kaliber 81 milimeter (mm) bersama 70 butir peluru dan lima kru.

 

Pada Pameran Pertahanan Asia 2022 di Kuala Lumpur pada Mac tahun lalu, Cendana Auto mengumumkan akan menghantar 207 buah kenderaan 4x4 pelbagai konfigurasi untuk Tentera Darat.

 

Antaranya 16 buah kenderaan operasi khas SF-21X SOV, kenderaan semboyan Fitted For Radio -FFR (70), kenderaan taktikal pembawa senjata (49) dan kenderaan pembawa mortar (72).

 

Kesemua kenderaan ini dibina di kilang syarikat berkenaan di Semenyih manakala casis kenderaan diimport.

 

Sebanyak 30 daripada 70 kenderaan FFR tersebut kini digunakan ATM dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon.

 

Sepertimana syarikat automotif tempatan, Cendana Auto yang ditubuhkan pada 2013 bermula kecil dengan menjalankan kerja-kerja menyelenggara dan membaik pulih kenderaan penumpang serta komersial.

 

Syarikat ini kemudian meningkatkan kemahiran apabila menyelenggara kenderaan khas yang digunakan pihak tentera.

 

Bermula tahun 2016, skop perniagaan Cendana Auto terus berkembang apabila meneroka aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam penghasilan kenderaan operasi khas (SOV) tentera.

 

 

ZAKI
Mortar 81mm merupakan salah satu senjata bantuan dalam BIS.

 

 

Mortar 81mm merupakan salah satu senjata bantuan dalam setiap Batalion Infantri Standard (BIS) Tentera Darat yang berperanan selalu artileri kecil.

 

Dalam pertempuran konvensional, pasukan mortar 81mm akan bertindak sebagai kuasa tembakan bantuan kepada batalion infantri sama ada dalam kedudukan pertahanan atau serangan.

 

Konsep infantri yang perlu cepat bergerak dari satu kedudukan ke kedudukan lain juga dipermudahkan dengan adanya kenderaan pembawa mortar.

 

Bagi batalion infantri mekanis pula, ia mengoperasikan mortar kaliber lebih besar iaitu 120mm yang dibawa pada kenderaan Gempita Av8 atau ACV 300 Adnan.

 

Ia sesuai dengan keperluan pasukan kenderaan perisai untuk membedil kedudukan musuh manakala kuasa tembakan mortar 120mm pula lebih baik berbanding mortar 81mm.

 

Pada Oktober tahun lalu, Tentera Darat memperolehi 72 laras mortar 81mm dari firma Sepanyol, Expal bersama sistem kawalan tembakan jenis Talos buatan firma GMV juga dari Sepanyol.

 

Perolehan ini dimeterai pada tahun 2019 sebagai salah satu pemodenan kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia.

 

 

ZAKI
Tentera Darat dijangka membuat perolehan tambahan mortar 81mm untuk melengkapi batalion RS.

 

 

Expal merupakan pengeluar senjata mortar dan amunisi antara yang terbaik di dunia dengan kira-kira 35 negara pengguna termasuk di Eropah.

 

Selain Expal, Tentera Darat juga menggunakan mortar 81mm buatan bekas negara Yugoslavia.

 

Berkemungkinan juga Tentera Darat akan membuat perolehanan tambahan sistem persenjataan ini berdasarkan baki 30 kenderaan MT 815 yang hendak diterima.

 

Andaian ini berdasarkan penstrukturan kekuatan infantri Tentera Darat yang memasuki fasa baharu apabila batalion-batalion Rejimen Sempadan (RS) telah diisytiharkan sebagai berstatus Batalion Infantri Standard (BIS) pada Ogos tahun lalu.

 

Ia selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik Tentera Darat, Army 4Next G bagi mengukuhkannya sebagai pasukan yang lebih kompeten serta dinamik.

 

Penstrukturan semula RS ini adalah untuk melengkapi keperluan semasa dan dekad hadapan, sekali gus menyaksikan keupayaan tempur rejimen tersebut digandakan.

 

RS yang ditubuhkan pada Januari 2008 sebelum ini menggunakan struktur sebuah batalion infantri biasa dengan peranan sebagai 'light infantry' untuk mengawal perbatasan sempadan.

 

 

ZAKI
Kenderaan FFR buatan Cendana Auto yang digunakan dalam misi PBB

 

 

Apabila berstatus sebagai BIS, RS berperanan dengan keupayaan sama sepertimana Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Renjer Diraja (RRD). 

 

Ini bakal melonjakkan lagi fungsi RS yang tidak lagi dilihat sebagai tentera di sempadan, sebaliknya boleh melaksanakan tugas serta diatur gerak dengan aset-aset serta persenjataan yang lebih baik.

 

Sudah pasti pertambahan kuasa tembakan yang bakal dimiliki ini untuk menghasilkan keupayaan yang mampu beroperasi sepenuhnya dan melaksanakan pelbagai latihan sebagai ketumbukan infantri moden. - DagangNews.com