Pertumbuhan pinjaman lebih perlahan dipengaruhi kenaikan OPR, inflasi - penganalisis ekonomi | DagangNews.com Skip to main content

Pertumbuhan pinjaman lebih perlahan dipengaruhi kenaikan OPR, inflasi - penganalisis ekonomi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Dis - Pertumbuhan pinjaman dijangka perlahan pada November hingga Disember ini ekoran impak negatif daripada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak empat kali sepanjang 2022. 

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Winson Ng berkata, kenaikan pinjaman kenderaan sehingga 8.5% tahun ke tahun pada Oktober 2022 juga tidak mampan kerana jualan kenderaan dijangka menguncup bagi suku ke suku pada suku keempat. 

 

Katanya, penunjuk pinjaman utama juga menunjukkan tanda-tanda kelemahan, berdasarkan penguncupan permohonan pinjaman dan kelulusan dalam tempoh 2 hingga 3 bulan lalu.

 

"Malah, pertumbuhan dalam pinjaman isi rumah menyederhana daripada 6.6% pada September kepada 6.3% pada Oktober, mencerminkan kesan negatif daripada peningkatan inflasi dan kenaikan OPR

 

"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman tahun ini sekitar 5 hingga 6%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan monetari dan kewangan pada Oktober menunjukkan pembiayaan bersih meningkat 5.7% pada Oktober (September: 5.6%), mencerminkan pertumbuhan yang meningkat sedikit dalam pinjaman terkumpul (6.5%; September: 6.4%) dan bon korporat (3.6%; September: 3.5%).

 

Pertumbuhan pinjaman isi rumah menjadi sederhana kepada 6.3% (September: 6.6%) apabila pertumbuhan bayaran balik pinjaman mengatasi pertumbuhan pengeluaran pinjaman merentas tujuan pinjaman utama. 

 

Ia lebih perlahan dalam pengeluaran yang mencerminkan permintaan pinjaman yang sederhana terutama untuk pembelian barangan bernilai tinggi seperti rumah dan kereta.

 

Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat kepada 5.5% (September: 5.2%), dengan pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi dicatatkan bagi kebanyakan tujuan. 

 

Mengikut segmen, pertumbuhan dalam pengeluaran pinjaman terus menggalakkan, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Sementara itu, penganalisis MIDF Research, Samuel Woo berkata, sistem pertumbuhan pinjaman pada Oktober menunjukkan peningkatan yang kukuh dengan berkembang 6.5% tahun ke tahun, meningkat 0.6% bulan ke bulan.

 

Katanya, pinjaman runcit meningkat 7.2% tahun ke tahun setelah memuncak pada 7.5% bulan sebelumnya, yang menyaksikan peningkatan 0.6% bulan ke bulan dan peningkatan tahunan sebanyak 6.5%.

 

"Walaupun sewa beli dan gadai janji kediaman terus menjadi pemacu utama, ia nampaknya telah menurun sedikit.

 

"Kami menjangkakan pertumbuhan pinjaman berkurangan pada separuh pertama 2023 dalam persekitaran yang kurang kecairan tunai apabila kebanyakan bank sudah pun mencatatkan nisbah pinjaman/deposit yang tinggi," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan manakala MIDF Research dengan pandangan 'positif'. - DagangNews.com