Kejuruteraan Asastera sasar raih pertumbuhan ketara dalam segmen SES dengan hasil konsesi lebih RM500 juta | DagangNews Skip to main content

Kejuruteraan Asastera sasar raih pertumbuhan ketara dalam segmen SES dengan hasil konsesi lebih RM500 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Nov – Kejuruteraan Asastera Bhd. (KAB) menyasarkan untuk meraih pertumbuhan yang ketara dalam segmen Penyelesaian Tenaga Lestari (SES), disokong oleh pengiktirafan hasil daripada konsesi berjumlah lebih RM500 juta sehingga 2046. 

 

Ia akan dicapai menerusi kontrak sedia ada di Malaysia dan Thailand serta pemerolehan berterusan daripada portfolio asetnya yang semakin meningkat dalam penjanaan tenaga bersih,  tenaga boleh diperbaharui (RE) dan penyediaan penyelesaian cekap tenaga.

 

Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, konsesi SES memberi petanda baik bagi kumpulan untuk mewujudkan aliran hasil yang stabil pada masa hadapan, melengkapkan perniagaan terasnya dalam menyediakan penyelesaian kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E).

 

Katanya, terdapat potensi besar yang belum diterokai dalam segmen SES kerana kerajaan dan perniagaan di Malaysia dan Thailand semakin sedar untuk menangani perubahan iklim.

 

"Kami gembira dengan kelulusan pemegang saham untuk mempelbagaikan penglibatan kami dalam SES, dan bersedia untuk mempercepatkan pengembangan bagi meraih lebih banyak peluang dalam industri yang semakin berkembang pesat.

 

"Selain itu, melalui peningkatan aset asas kami, kumpulan menjangkakan segmen SES akan menjadi penyumbang keuntungan yang ketara dalam beberapa tahun akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini sempena mesyuarat agung luar biasa kumpulan.

 

Setakat 14 November 2022, kumpulan mempunyai 14 kontrak solar di Malaysia dan Thailand dengan kapasiti gabungan 17,318 kWp, terdiri daripada projek konsesi sehingga 2046 dengan jumlah anggaran nilai konsesi RM146.8 juta serta projek pemasangan terus.

 

Kontrak solar itu termasuk pemerolehan Matahari Suria Sdn. Bhd. dengan kontrak pembelian tenaga sedia ada dengan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) sehingga 2037, dan menandatangani dua perjanjian pembelian tenaga solar selama 20 tahun dengan Nextgreen Pulp & Paper Sdn. Bhd.

 

Segmen SES KAB melaporkan hasil sebanyak RM6.8 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21). 

 

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2022 sahaja, ia melebihi pendapatan segmen SES FY21 dengan RM8.2 juta dan dijangka berkembang pesat pada masa hadapan.

 

Pada mesyuarat itu, pemegang saham juga meluluskan cadangan penempatan persendirian sehingga 361.6 juta saham baharu, mewakili kira-kira 20% daripada saham terbitan sedia ada kumpulan. Pelabur bebas dan harga terbitan akan ditentukan kemudian. - DagangNews.com