Skip to main content

Kabinet setuju Malaysia meratifikasi CPTPP

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Okt - Kabinet telah bersetuju supaya Malaysia meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang menyaksikan negara secara rasmi menyerahkan Instrumen Pengesahan (IOR) kepada New Zealand, Depositari CPTPP pada 30 September lalu.

 

CPTPP telah ditandatangani pada 8 Mac 2018 dengan perjanjian itu telah pun disahkan dan dilaksanakan secara berperingkat sejak Disember 2018 oleh Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, VietNam dan Peru.

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, penyerahan IOR itu menandakan peristiwa penting kepada Malaysia sebagai negara kesembilan yang meratifikasi CPTPP.

 

Katanya, ratifikasi itu dibuat selepas bertahun-tahun perbincangan secara terperinci, perundingan yang meluas dan penilaian teliti oleh kerajaan.

 

"Tambahan pula, berdasarkan penemuan Analisis Kos-Faedah (CBA), adalah jelas bahawa faedah yang diperoleh daripada ratifikasi CPTPP jauh melebihi sebarang kos yang mungkin timbul daripada pelaksanaan perjanjian ini.

 

"Dengan ratifikasi dan pelaksanaan CPTPP, kedudukan Malaysia sebagai ekonomi perdagangan global dijangka terus meningkat," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

CPTPP, yang kini mempunyai 11 negara sebagai ahlinya, semakin berkembang bagi menarik lebih banyak ekonomi yang berminat dan berpotensi untuk menjadi buku peraturan baharu untuk perdagangan masa hadapan.

 

United Kingdom (UK), yang menjadi negara pertama yang secara rasmi memohon untuk menyertai CPTPP, kini berada di peringkat akhir untuk menyetujui perjanjian tersebut.

 

Selain itu, China, Taipei, Ecuador dan Costa Rica juga telah secara rasmi memohon untuk menyertai CPTPP.

 

Menurut MITI, dengan penyertaan lebih banyak ekonomi, terutamanya UK dan China dalam CPTPP, pengeksport Malaysia akan memperoleh peluang akses pasaran yang lebih luas dan mendalam.

 

"CPTPP juga meluaskan akses Malaysia kepada pasaran baharu seperti Kanada, Mexico dan Peru, yang tidak dilindungi oleh mana-mana Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada.

 

"Ia menyediakan akses kepada rangkaian bahan mentah berkualiti tinggi yang lebih meluas pada harga kompetitif, dan meningkatkan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan," jelasnya.

 

Kementerian itu berkata, di bawah CPTPP mulai 1 Januari 2033, kesemua eksport dari Malaysia ke negara negara CPTPP akan menikmati layanan bebas cukai.

 

"Sebaik sahaja CPTPP berkuat kuasa untuk Malaysia, semua eksport ke Australia dan Singapura akan mudah memasuki pasaran ini tanpa dikenakan sebarang duti.

 

"Selepas itu, pada 2024 dan 2029, semua produk Malaysia yang dieksport ke New Zealand dan Kanada, masing-masing, akan memasuki negara ini tanpa cukai," katanya. 

 

Jelasnya lagi, meskipun Malaysia setakat ini sudah melaksanakan 15 FTA, tetapi CPTPP adalah berbeza kerana menyediakan komitmen dan konsesi yang mempunyai standard yang sangat tinggi, berbanding FTA lain.

 

"Inilah sebab mengapa CPTPP dikenali sebagai piawaian emas FTA. Bagaimanpun, CPTPP akan wujud bersama dengan semua FTA lain. 

 

"Jadi, terpulang kepada sektor swasta untuk menentukan FTA yang paling sesuai dengan keperluan mereka dan memberikan faedah maksimum," katanya. - DagangNews.com