KAB raih kontrak EPCC loji janakuasa 52MW daripada Regas Terminal (Lahad Datu) bernilai RM230 juta | DagangNews Skip to main content

KAB raih kontrak EPCC loji janakuasa 52MW daripada Regas Terminal (Lahad Datu) bernilai RM230 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Jan - Kejuruteraan Asastera Berhad (KAB) menerusi anak syarikatnya, KAB Energy Holdings Sdn Bhd meraih surat anugerah daripada Regas Terminal (Lahad Datu) Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik Petronas Gas Berhad untuk kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) loji janakuasa 52-megawatt bernilai RM230 juta.

 

Loji janakuasa itu akan berada di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang dan akan menjadi sumber tunggal bekalan tenaga kepada projek gas asli cecair terapung Petronas yang akan datang. 

 

Loji itu dijadual menjadi kemudahan gas asli berhampiran pantai pertama di Sabah, mempunyai kapasiti minimum 2 juta tan setahun.

 

Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, projek itu membantu menguatkan lagi inisiatif tenaga lestari kumpulan yang dilaksanakan sejak 2019 dan pihaknya berbesar hati dipilih sebagai rakan kongsi teknikal.

 

"Loji janakuasa itu, apabila siap, akan menjadi loji enjin gas tunggal terbesar di negara ini, dan berfungsi sebagai sumber kuasa penting untuk loji yang akan datang. Tambahan pula, kajian kebolehlaksanaan bersama kami dengan PGB menunjukkan bahawa loji janakuasa itu boleh dipercayai dan akan mencapai pengurangan karbon yang ketara.

 

"Kami komited terhadap hubungan berterusan dengan Petronas Gas untuk memastikan kejayaan menyiapkan loji janakuasa ini, sambil menyumbang kepada agenda kemampanan negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kerja-kerja EPCC untuk loji janakuasa itu akan bermula pada suku kedua 2023 dan disasarkan siap pada 1QFY26.

 

Bahagian Penyelesaian Tenaga Lestari (SES) KAB mempunyai rekod prestasi yang kukuh merentas penjanaan bersama dan sisa kepada loji pemulihan haba, serta sistem solar fotovoltaik (PV). - DagangNews.com