Jualan usahawan lonjak RM21 juta menerusi 4 program, Insken sasar lebih 19,000 peserta bagi tahun 2023 | DagangNews Skip to main content

Jualan usahawan lonjak RM21 juta menerusi 4 program, Insken sasar lebih 19,000 peserta bagi tahun 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Mac - Hasil jualan para usahawan bimbingan Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) melonjak sebanyak RM21 juta menerusi empat program jangka panjang pada tahun lalu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd Firdaus Azharuddin.

 

Tambahnya, empat program bimbingan jangka panjang itu terdiri daripada Program Insken Bumiputera Business Coaching (IBBC), Online Onboarding Coaching Programme (E-Board), Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.

 

Di dalam taklimat media hari ini, Muhd Firdaus memaklumkan program Insken Bumiputera Business Coaching (IBBC) memberi sumbangan tertinggi terhadap hasil jualan tersebut sebanyak 26% atau RM18.5 juta, diikuti program E-Board (RM1.8 juta), Program Bimbingan Keuntungan Menu (RM794,000) dan program baharu, Program Bimbingan Pembangunan Produk (RM295,000).

 

Di samping itu, Insken juga telah berjaya melatih dan membimbing lebih 21,300 usahawan dengan anjuran 502 program jangka pendek dan jangka panjang pada tahun lalu, menjangkaui sasaran awal sebanyak 13,390 usahawan dan 422 program.

 

Beliau berkata lebih 500 peserta telah menyertai 21 program yang dianjurkan untuk IBCC, di mana mereka mendapat bimbingan pelatih industri dalam golongan usahawan berpengalaman dan empat industri baharu telah diperkenalkan iaitu penjagaan haiwan peliharaan, percetakan dan perkhidmatan berkaitan, kedai runcit dan kraftangan.

 

Di samping itu, Insken telah menerima peruntukan kerajaan sebanyak RM10 juta dan menyasarkan 18,000 peserta latihan dan 1,300 peserta bimbingan.

 

 

Muhd Firdaus Azharuddin
Muhd Firdaus Azharuddin

 

 

Di dalam sidang taklimat media hari ini, beliau turut berkongsi institut tersebut bakal membuka pejabat di Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak untuk menarik lebih ramai peserta di samping menjalin kerjasama dengan agensi dari kedua-dua negeri tersebut.

 

“Pada tahun lalu, terdapat 8 hingga 9% peserta dari Sabah dan Sarawak dan pada tahun ini kami menyasarkan penyertaan sebanyak 15%,” ulas beliau yang menjangkakan pembukaan pejabat baharu selewatnya pertengahan tahun ini.

 

Mengulas berkenaan Program Usahawan Bisnes Dropship dan Ejen (DNA), beliau berkata ramai anak muda dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) telah menyertai latihan untuk menjadi dropshipper dan sebanyak 60 hingga 80% daripada mereka telah berjaya.

 

Pada tahun ini, mereka mula menjalankan program dropship memandangkan terdapat maklum balas daripada pengasas produk yang memerlukan rakan dropship yang berusia lebih matang.

 

“Bagi Program Usahawan Bisnes Dropship dan Ejen (DNA) tahun ini, kami akan bertumpu kepada penglibatan suri rumah yang merupakan isteri tentera dan polis dengan sasaran lebih 5,200 peserta,” katanya sambil menambah jumlah pengasas produk juga akan ditambah daripada 60 orang kepada 94 orang.

 

Beliau turut memaklumkan Insken bakal memperkenalkan program latihan baharu iaitu program Urus Kewangan Untuk Perniagaan Kecil, lanjutan Kursus Urus Tunai.

 

“Kami mendapati bahawa pengurusan kewangan adalah antara aspek paling lemah dalam kalangan usahawan kita,” ujar beliau. -DagangNews.com