Isu NIISe tidak jejas kedudukan MyEG sedia perkhidmatan berkaitan imigresen, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Isu NIISe tidak jejas kedudukan MyEG sedia perkhidmatan berkaitan imigresen, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - Walaupun diselubungi isu pembangunan Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe), MyEG Services Berhad tetap berada di kedudukan yang baik untuk  meneruskan perkhidmatan berkaitan imigresen pada tahun-tahun akan datang.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, kumpulan itu juga berpotensi menyediakan perkhidmatan baharu melalui penyelesaian berasaskan Web3 yang berkaitan pengambilan serta pendaftaran pekerja asing di Malaysia.

 

"Kira-kira 600,000 pekerja asing diproses setiap tahun, ia berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu untuk kumpulan itu. 

 

"Selain itu, kami menjangkakan perniagaan pemadanan pekerjaannya akan menunjukkan prestasi yang lebih baik disebabkan oleh aktiviti pengambilan pekerja asing yang semakin meningkat," katanya.

 

Firma itu berkata, keputusan Kemneterian Pengangkutan untuk mendigitalkan sistemnya tidak dapat dielakkan dan akan memberi kesan negatif terhadap cukai jalan tradisional kumpulan itu.

 

Selain itu katanya, ia juga memberi kesan kepada perniagaan pembaharuan lesen memandu kompeten dan pada masa sama, firma itu tiak menolak kemungkinan kumpulan itu menyediakan penyelesaian berasaskan blockchain baharu untuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

 

"Kami menjangkakan penurunan bahagian pasaran untuk kumpulan itu kepada kurang daripada 10% menjelang FY25," katanya.

 

Firma itu berkata, berdasarkan program rintis pembiayaan rantaian bekalan, kumpulan itu juga sedang membangunkan penyelesaian baharu untuk kastam Malaysia-China.

 

Katanya, proses khas akan dibangunkan berasaskan Web3 yang lebih cekap, sekali gus memberi manfaat kepada kumpulan itu kerana ia dapat menjana wang menggunakan platformnya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 90 sen sesaham. - DagangNews.com