Iskandar Investment sumbang bantuan bernilai RM102,000 kepada 4 sekolah | DagangNews Skip to main content

Iskandar Investment sumbang bantuan bernilai RM102,000 kepada 4 sekolah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Iskandar Investment Bhd (IIB) menyumbang sebanyak RM102,000 kepada empat buah sekolah di Iskandar Puteri, Johor untuk bantuan program 'Kembali Ke Sekolah'.

 

Program tersebut menyaksikan seramai 276 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan dari dua sekolah rendah dan dua sekolah menengah terpilih menerima bantuan berkenaan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Hashim berkata, program tersebut dijayakan menerusi dana wakalah IIB yang merupakan salah satu inisiatif zakat di bawah Majlis Agama Islam Johor.

 

Beliau berkata, pihaknya komited untuk menyokong pendidikan dan percaya bahawa pelaburan dalam generasi muda adalah kunci ke arah komuniti yang mampan dan inklusif. 

 

"IIB hari ini menganjurkan program Kembali ke Sekolah untuk pelajar kurang berkemampuan, yang merupakan satu lagi peluang bagi syarikat untuk memberi impak dalam kehidupan mereka yang memerlukan.

 

"Kami menyedari bahawa ramai pelajar dalam komuniti kekurangan akses kepada sumber asas, seperti buku teks, peralatan sekolah dan teknologi, yang penting untuk pendidikan mereka.

 

"IIB percaya bahawa setiap pelajar berhak mendapat peluang yang saksama untuk berjaya, tanpa mengira latar belakang atau keadaan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

iskandar
Datuk Idzham Mohd Hashim (tengah) bersama sebahagian pelajar yang menerima bantuan persekolahan di Kompleks Educity 1, Iskandar Puteri, Johor pada 28 Februari 2023.

 

 

Idzham berkata, pihaknya berbangga dapat menyokong sekolah-sekolah itu dan peranan penting mereka untuk mendidik generasi pemimpin akan datang. 

 

Katanya, sumbangan itu adalah tanda penghargaan atas usaha gigih para guru dan kakitangan sekolah dan berharap ia akan menyediakan sumber yang diperlukan pelajar untuk berjaya dalam akademik mereka dan seterusnya.

 

 

iskandar

 

 

"Program ini bertujuan untuk meringankan beban ibu bapa serta memberi motivasi, inspirasi dan galakan kepada pelajar untuk terus bersekolah dan mendapat peluang yang sama untuk mereka berjaya dalam pelajaran," katanya.

 

Tambahnya, memandangkan pendidikan adalah salah satu unit perniagaan Teras Fokus IIB, pihaknya memahami keperluan untuk strategi inklusif yang mengutamakan ekuiti bagi menangani halangan sosial dan struktur dalam pendidikan.

 

Program ini adalah sebahagian daripada komitmen IIB untuk menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu: Pendidikan Berkualiti, dalam memastikan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama serta menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat untuk semua lapisan masyarakat. - DagangNews.com