Insken catat jualan RM11 juta, 178 pekerjaan baharu menerusi program IBBC pada 2022 | DagangNews Skip to main content

Insken catat jualan RM11 juta, 178 pekerjaan baharu menerusi program IBBC pada 2022

Para usahawan diraikan di Majlis Graduasi Program Bimbingan Insken pada 28 Februari 2023 di Putrajaya
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - Program Insken Bumiputera Business Coaching (IBBC) anjuran Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken), mengekalkan momentum kecemerlangannya setelah berjaya meningkatkan jualan sebanyak RM11 juta dan 178 pekerjaan baharu melalui pelaksanaan 9 program bimbingan pada 2022. 

 

Terkini, seramai 251 usahawan telah tamat program tersebut dan 12 daripadanya telah bertukar status perniagaan daripada mikro kepada kecil selepas mengikuti program bimbingan selama 4 bulan.

 

Secara keseluruhan, 54% peserta berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) program yang ditetapkan iaitu peningkatan hasil jualan minimum sebanyak 20% melalui program bimbingan komprehensif anjuran agensi itu di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

 

Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick berkata, usahawan dilihat amat bersungguh-sungguh memajukan perniagaan seperti peserta program IBBC ini akan terus dibantu dan disokong oleh kementerian termasuklah kesemua agensi. 

 

"Laporan peserta program ini seterusnya akan dihantar kepada agensi di bawah KUSKOP untuk dipertimbangkan bagi penyaluran geran, pinjaman serta bantuan yang bersesuaian," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, kesemua usahawan diraikan di Majlis Graduasi Program Bimbingan Insken yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri KUSKOP, Saraswathy Kandasmi di Putrajaya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, usahawan yang ingin berjaya memerlukan latihan, bimbingan serta sokongan daripada pelbagai pihak dan bukan hanya berusaha secara sendiri. 

 

 

insken
Sebahagian graduan yang berjaya menamatkan program bimbingan Insken.

 

 

Katanya, IBBC merupakan program yang komprehensif kerana dilengkapi dengan semua keperluan tersebut termasuklah kepakaran Industry Coach dan juga rangkaian usahawan daripada industri sama yang mampu menjana pengetahuan baharu. 

 

"Muhammad Mikhail Aiman Mohd Nazari, peserta program IBBC Printing & Related Services adalah antara yang terbaik kerana telah berjaya meningkatkan hasil jualan sehingga 223%. 

 

 

insken
                                                                 Muhd Firdaus Azharuddin

 

 

"Faktor yang mempengaruhi peningkatan hasil jualan selepas mengikuti program ini adalah apabila dia konsisten menggunakan semua platform pemasaran serta menambah pasukan jualan, pemasaran dan produksi seperti yang dipelajari serta dibimbing di dalam program IBBC," katanya.

 

Manakala, sebanyak 157% peningkatan hasil jualan berjaya dicipta Kasma Dewi Mohamad Yuna yang mengikuti program IBBC Kiosk Vendor. 

 

Katanya, selepas mendapat bimbingan daripada Industry Coach, Kasma Dewi telah menggunakan khidmat ejen untuk membuat jualan serta mula menjual produknya melalui platform atas talian seperti Shopee dan TikTok sehingga membuahkan hasil yang cemerlang ini. - DagangNews.com