Harga susu mahal, Berjaya Food naikkan harga Starbucks sejak November 2022 - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga susu mahal, Berjaya Food naikkan harga Starbucks sejak November 2022 - Maybank IB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 14 Dis - Maybank Investment Bank (IB) mengekalkan saranan 'beli' terhadap Berjaya Food Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.50 berikutan prospeknya kekal positif meskipun berdepan dengan tekanan kos.

 

Ini berdasarkan kepada permintaan produk yang berdaya tahan dan keupayaan tanpa halangan untuk mengembangkan rangkaian cawangannya di tengah-tengah sentimen pengguna yang lemah.

 

Menurut firma itu, Berjaya Food sedang mengharungi tekanan kos yang tinggi pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) dengan melaksanakan kecekapan kos secara dalaman dan pelarasan harga produknya, Starbucks.


 

stabak

 


Dengan ini, margin operasi kumpulan bagi FY23 mungkin menyederhana bagi tahun ke tahun tetapi momentum jualan yang kukuh, didorong oleh permintaan berdaya tahan, mampu mengekalkan pendapatan Berjaya Food dengan trajektori positif dalam tempoh terdekat.

 

"Kumpulan berdepan kenaikan kos tambahan ekoran peningkatan kos bahan mentah (susu) dan kadar tukaran ringgit/dolar AS yang kurang menggalakkan memandangkan kira-kira 50% daripada bahan mentah dibeli dalam dolar AS dengan kos pembelian susu pula adalah dalam ringgit.

 

"Bagi menangani situasi ini, kumpulan telah menaikkan harga semua produk minumannya di Starbucks sebanyak RM1 setiap item berkuat kuasa pada November 2022, yang diterjemahkan kepada kenaikan kekal sebanyak 5 hingga 10% dalam harga jualan purata (ASP) produk minumannya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Secara purata, jualan minuman menyumbang kira-kira 67% daripada hasil Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn. Bhd. (BStarbucks).

 

Berdasarkan saluran semakannya, permintaan terhadap Starbucks pada suku kedua FY23 menjejaki jangkaan dalaman dengan suku berakhir 31 Disember 2022 merekodkan hasil yang kukuh dipacu jualan musim perayaan dan kehadiran pengunjung yang tinggi.


 

stabak

 


Setakat ini, jualan daripada cawangan menyumbang 75% kepada hasil manakala penghantaran dan jualan pandu lalu masing-masing menyumbang sebanyak 12% dan 13%.

 

Maybank IB berkata, pelarasan harga baru-baru ini hanya akan menampan sebahagian kenaikan kos daripada bahan mentah dan pengukuhan dolar AS kerana Berjaya Food berusaha mencapai keseimbangan antara mengekalkan kemampuan pengguna dan mempertahankan margin operasi.


 

stabak
Kedai Starbucks terbaharu terletak di bangunan Plaza Azalea, Seksyen 14, Shah Alam. - Gambar DagangNews

 


"Kami menganggarkan kenaikan kos akan melemahkan margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) bagi FY23 sebanyak 2% bagi tahun ke tahun," jelasnya.

 

Setakat 10.59 pagi, harga saham Berjaya Food susut 0.5 sen atau 0.51% kepada 98.5 sen dengan 569,200 saham diniagakan. - DagangNews.com