GPS setuju sertai kerajaan perpaduan pimpinan Anwar | DagangNews Skip to main content

GPS setuju sertai kerajaan perpaduan pimpinan Anwar

KUALA LUMPUR 24 Nov - Gabungan Parti Sarawak ( GPS) akan menyertai kerajaan perpaduan di bawah Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Pengerusinya Tan Sri Abang Johari Openg berkata, keputusan tersebut adalah selaras dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong.

 

Menurutnya, kerajaan Sarawak menyerahkan soal lantikan Kabinet Persekutuan kepada Perdana Menteri.

 

Keputusan itu dibuat beberapa jam selepas DAP memohon maaf kepada kerajaan Sarawak dan rakyatnya atas sebarang kenyataan yang mungkin menyinggung perasaan mereka.

 

"GPS menerima permohonan maaf DAP itu dengan hati terbuka," kata beliau dalam sidang media di Kuching, hari ini.

 

Pada sidang akhbar, beliau menyatakan bahawa permohonan maaf itu membuktikan bahawa "GPS betul selama ini".

 

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, dalam satu kenyataan hari ini, berkata beliau telah bertemu dengan Abang Johair, yang merupakan perdana menteri Sarawak, di kediamannya di Kuching, pagi ini.

 

"Kami mengadakan perbincangan mesra. Saya memaklumkan kepada perdana menteri bahawa jika ada sebarang kenyataan yang pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak, saya mewakili DAP, memohon maaf secara terbuka." - DagangNews.com