GPS sah kekal menyokong Muhyiddin - Fadillah Yusof | DagangNews Skip to main content

GPS sah kekal menyokong Muhyiddin - Fadillah Yusof

Datuk Seri Fadillah Yusof berbincang rapat dengan Tan Sri Abang Johari Open semasa mesyuarat khas PBB di Kuching pada 22 November 2022.

PUTRAJAYA 23 Nov -  Menteri Kerja Raya Sementara Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan beliau mengetuai delegasi Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mengisytiharkan sokongan mereka kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Ikrar sokongan kepada pengerusi PN ini berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di Kuala Lumpur awal hari ini.

 

Fadillah memberitahu Sin Chew Daily bahawa GPS telah melantik empat wakil untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong di mana beliau mengulangi bahawa sokongan gabungan politik Sarawak kekal dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Tambahnya, Akuan Berkanun (SD) berhubung perkara ini telah dikemukakan bagi menyokong Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai Perdana Menteri ke-10 negara.

 

Semalam, Fadillah menyertai mesyuarat khas Parti Bumiputera Bersatu Sarawak dipengerusikan Presiden parti, Tan Sri Abang Johari Open di Kuching. 

 

Sementara itu, dalam hantaran terbaru kenyataannya di media sosial rasmi, Fadillah berkata, wakil GPS telah dititah menghadap jam 11.30 pagi ini.

 

"Saya bersama Dato Sri Alexander Nanta Linggi; Dato Sri Richard Riot dan Datuk Aaron Ago Dagang telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara," ujarnya.

 

Baginda telah menyatakan hasrat & nasihat dalam keadaan tak ada satu parti pun mendapat simple majoriti, kalau dapat kita berbincang sama ada boleh diwujudkan Kerajaan Perpaduan.

 

"Saya telah membawa perkara itu kepada pucuk kepimpinan GPS ketika berjumpa Premier di DUN Sarawak petang ini.

 

"GPS sememangnya mahu membentuk kerajaan bersama beberapa parti seperti kenyataan yang kita buat sebelum ini. Tapi apapun keputusan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kita akan akur," kata beliau. - DagangNews.com