Exal Group kembangkan perniagaan ke Malaysia menerusi projek SOL Estate bernilai RM356 juta di Kuching | DagangNews.com Skip to main content

Exal Group kembangkan perniagaan ke Malaysia menerusi projek SOL Estate bernilai RM356 juta di Kuching

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Okt - Pemaju hartanah Australia, Exal Group melancarkan SOL Estate iaitu pembangunan kediaman bertanah bernilai RM356 juta di Kuching, sekali gus memulakan langkah pertamanya ke pasaran Malaysia.

 

Kumpulan itu telah merasmikan Galeri SOL Estate untuk bakal pembeli rumah dengan 50% daripada fasa pertama projek telah dijual pada hujung minggu.

 

Pengarah Urusan Exal Group (Malaysia), Albert Ko berkata, SOL Estate mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pasaran.

 

"Ketika penduduk bandar berpusu-pusu meninggalkan bandar besar yang berpenduduk padat untuk mencari kawasan yang lebih mengutamakan alam semula jadi dan tenang, Kuching pantas mencipta nama sebagai syurga baharu untuk kediaman berbilang generasi.

 

"Bagi saya pulang ke Kuching adalah seperti menemui semula sebahagian daripada diri saya yang telah hilang selama beberapa dekad.

 

"Masyarakat dan bandar itu sendiri merasakan seolah-olah mereka dibentuk khas untuk saya dan ia adalah semangat yang saya ambil untuk diterapkan dalam projek Sol Estate," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

exal

 

Sol Estate terletak di sepanjang Jalan Arang Barat di Batu Kawa. 

 

Pembangunan pegangan pajakan itu memiliki 269 unit yang dibahagikan kepada tiga fasa dengan fasa pertama dijadualkan siap menjelang Disember 2024. 

 

Fasa pertama terdiri daripada 74 rumah merangkumi 42 dupleks dua tingkat dan 32 rumah halaman dua tingkat.

 

Projek itu merupakan pembangunan kediaman sepenuhnya merentasi 12.1 hektar kawasan hijau di sekitar tengah-tengah bandar Kuching. 

 

Kemudahan termasuk hutan dusun dan ladang komuniti, halaman permainan untuk kanak-kanak, kemudahan kecergasan luar, gelanggang bola keranjang jalanan dan eko-teres.

 

Buat masa sekarang, Exal Group sedang merancang projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM3 bilion di Perth dengan projek Sol Estate mewakili projek pertama di luar Australia. - DagangNews.com