Gabungan monoklonal antibodi Evusheld kini di pasaran swasta Malaysia sebagai pencegahan COVID-19 untuk individu berisiko tinggi | DagangNews Skip to main content

Gabungan monoklonal antibodi Evusheld kini di pasaran swasta Malaysia sebagai pencegahan COVID-19 untuk individu berisiko tinggi

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Dis - Gabungan monoklonal antibodi, Evusheld AstraZeneca (tixagevimab dan cilgavimab,MAL 22056042ACR2) dilancarkan hari ini di hospital-hospital swasta Malaysia untuk pencegahan COVID-19 bagi individu berisiko tinggi.

 

Agensi Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA) memberikan kebenaran pendaftaran bersyarat untuk Evusheld pada bulan Mei tahun ini untuk profilaksis pra-pendedahan (pencegahan) COVID-19 kepada golongan orang dewasa dan remaja berumur 12 tahun dan ke atas yang mempunyai berat sekurang-kurangnya 40 kg, yang berkemungkinan tidak mempunyai tindak balas imun mencukupi terhadap vaksinasi COVID-19 atau untuk golongan yang tidak disyorkan mengambil vaksin COVID-19.

 

Pengenalan Evusheld ke pasaran swasta Malaysia bermakna individu yang mudah terdedah, termasuk pesakit imunokompromi dengan keadaan kesihatan berpenyakit dan mereka yang tidak dapat diberi vaksin, kini boleh mendapat manfaat daripada pilihan pencegahan tambahan dengan memperolehinya di hospital swasta.

 

Presiden Negara AstraZeneca Malaysia, Dr Sanjeev Panchal berkata, Evusheld adalah pilihan untuk pesakit berisiko tinggi untuk mencegah COVID-19 selain vaksinasi. 

 

Beliau berkata, walaupun vaksin terus kekal sebagai senjata perlindungan utama untuk melawan virus, terdapat beberapa kumpulan yang masih terdedah dan tidak dapat membina perlindungan yang mencukupi melalui vaksin ataupun tidak disyorkan sama sekali untuk mengambil vaksin COVID-19.

 

“Kelulusan bersyarat dan ketersediaan Evusheld di Malaysia merupakan titik pencapaian penting dalam usaha berterusan kami untuk menyumbang ke arah kesihatan awam ketika negara beralih kepada fasa endemik dan melindungi individu berisiko tinggi daripada COVID-19. 

 

 

az
                                                                       Dr Sanjeev Panchal

 

 

"Evusheld ialah gabungan monoklonal antibodi yang dibenarkan untuk pencegahan COVID-19 di Malaysia, membolehkan kami membantu melindungi kumpulan yang mudah terdedah seperti mereka yang imunokompromi, seterusnya memastikan semua orang mendapat perlindungan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Evusheld ialah gabungan dua antibodi monoklonal (mAbs), tixagevimab dan cilgavimab, yang diberikan sebagai dua suntikan intraotot. 

 

Tidak seperti vaksin, yang mengambil masa untuk melatih sistem imun badan untuk bertindak balas terhadap virus, antibodi seperti Evusheld meniru tindak balas imun semula jadi badan untuk segera mengenal pasti dan menyerang virus. 

 

 

az

 

 

Antibodi berfungsi dengan mengikat paku protein virus SARS-CoV-2 di dua tapak berbeza. Dengan disambungkan pada paku protein, ubat itu dijangka menghalang virus daripada memasuki sel-sel badan dan menyebabkan jangkitan.

 

Keputusan daripada percubaan profilaksis (pencegahan) pra-pendedahan PROVENT Fasa III yang diterbitkan dalam The New England Journal of Medicine menunjukkan bahawa Evusheld mengurangkan risiko mendapat gejala COVID-19 sebanyak 77% dalam analisis utama, dan sebanyak 83% dalam analisis susulan enam bulan, berbanding plasebo. - DagangNews.com