EP Manufacturing teroka kerjasama berkaitan bateri dengan anak syarikat TNB | DagangNews Skip to main content

EP Manufacturing teroka kerjasama berkaitan bateri dengan anak syarikat TNB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 17 Jan - EP Manufacturing Bhd. menerusi anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, EP Blueshark Sdn. Bhd. memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Tenaga Switchgear Sdn. Bhd. (TSG) bagi meneroka kerjasama berkaitan kemudahan pengeluaran stesen penukaran bateri bagi pasaran ASEAN. 

 

Kerjasama itu membolehkan kedua-dua pihak meneroka kemungkinan menggunakan Stesen Pertukaran Bateri melalui rangkaian TSG di rantau ini.

 

"MoU ini adalah selaras dengan usaha niaga kenderaan elektrik EP Manufacturing dan aspirasi kredit karbon kumpulan," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

TSG ialah anak syarikat Tenaga Nasional Bhd. yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan terbaik dalam pembuatan produk alat suis voltan tinggi dan sederhana, pengurusan projek, kontrak turnkey, perkhidmatan ujian, penyelenggaraan dan perundingan kejuruteraan serta pembuatan pengecas kenderaan elektrik dan penyelesaian tenaga hijau.

 

Menurut kumpulan, kerjasama itu sepatutnya berkuat kuasa daripada tarikh MoU bagi tempoh selama 12 bulan.

 

"Pelaksanaan kerjasama ini tidak memberi kesan kepada modal terbitan dan berbayar serta pemegangan utama kumpulan.

 

"Sebaliknya, ia dijangka memberi kesan signifikan kepada pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan penggearan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023," jelasnya. - DagangNews.com