Empangan hidroelektrik TNB sedia laksana peranan elak bencana musim tengkujuh | DagangNews Skip to main content

Empangan hidroelektrik TNB sedia laksana peranan elak bencana musim tengkujuh

KUALA LUMPUR 29 Nov - Skim empangan hidrolektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu Skim Hidroelektrik Kenyir, Skim Hidroelektrik Sg Perak dan Skim Hidroelektrik Cameron Highlands bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat pada musim tengkujuh tahun ini.

 

TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) adalah anak syarikat milik penuh TNB yang bertanggungjawab terhadap pengurusan aset-aset penjanaan elektrik milik TNB, termasuk skim empangan hidroelektrik ini.

 

Menurut Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Nor Azman Mufti, paras air di ketiga-tiga skim empangan hidroelektik tersebut telah diturunkan sejak bulan Julai sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut kali ini.

 

“Persediaan yang dilakukan termasuk pengurusan paras air empangan melalui pelepasan terkawal dan pemeriksaan menyeluruh di stesen-stesen janakuasa,” katanya.

 

Dengan mengoptimumkan penggunaan air secara sasaran draw-down, paras air tasik telah  diturunkan secara terancang ke paras minima sebelum bermulanya musim tengkujuh dengan mengambil kira keperluan operasi supaya keupayaan penjanaan elektrik masih boleh dilakukan.

 

“Pelan persediaan banjir secara menyeluruh telah dilaksanakan selaras dengan pendekatan Syarikat dalam mempertingkatkan komitmen dalam usaha berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam memacu perjalanan peralihan tenaga bertanggungjawab.

 

“Kami juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai ramalan kaji cuaca dan taburan hujan sebenar, menjalankan latihan pengungsian dan melaksanakan ujian tahap ketersediaan bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.

 

 

tnb
                                            Datuk Nor Azman Mufti

 

 

TNB Genco turut memberi jaminan kesemua empangan hidroelektrik milik syarikat utiliti itu berada dalam keadaan baik dan selamat. 

 

Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB Careline. - DagangNews.com