Skip to main content

Dua negara jiran Filipina, Indonesia konsisten laksanakan pemodenan pertahanan. Malaysia?

Filipina menjadi negara ketiga di rantau ini menggunakan sistem pertahanan udara SPYDER buatan Israel.
Fokus Berita oleh ZAKI SALLEH

KEMAJUAN pertahanan dua negara jiran semakin mendahului Malaysia apabila mula menerima sistem persenjataan yang lebih moden menepati pembangunan yang dirancang.

 

Filipina kelmarin menggandakan pertahanan udaranya apabila menerima sistem peluru berpandu jarak sederhana SPYDER buatan Israel.

 

SPYDER yang boleh mengenai sasaran sehingga jarak 50 kilometer merupakan antara yang terbaik kerana mempunyai ketepatan yang tinggi.

 

Filipina menjadi pengguna kedua sistem peluru berpandu SPYDER selepas Singapura dan Vietnam.

 

Negara itu pada 2018 membeli tiga bateri sistem SPYDER dari firma Israel, Rafael dengan kos dianggarkan sebanyak AS$141 juta.

 

 

spyder
SPYDER bakal memperkuatkan pertahanan udara Filipina.

 

 

Perolehan ini adalah sebahagian daripada rancangan memodenkan angkatan tenteranya menerusi Program Horizon 2.

 

Program pemodenan pertahanan ini yang berlangsung dalam tiga fasa bermula 2013 sehingga 2028 melibatkan belanjawan keseluruhan sebanyak AS$40 bilion.

 

Dalam pada itu, Tentera Udara Filipina turut menerima sebuah pesawat pengangkut taktikal C295W buatan Airbus Defense and Space dari Sepanyol. 

 

Ini merupakan pesawat kedua daripada tiga buah yang dibeli dalam usaha meningkatkan kemampuan penghantaran logistik udara.

 

Sepertimana Filipina, rancangan perolehanan sistem pertahanan udara jarak sederhana ini telah pun dirancang oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seawal tahun 1999.

 

Ketika itu Gerup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) Tentera Darat diberikan tanggungjawab membuat penilaian serta cadangan bentuk sistem persenjataan yang sesuai.

 

Bagaimana pun, program GBAD kemudian diambil alih oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) apabila perancangan ini dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

 

Belum ada sebarang keputusan mengenai program tersebut walaupun beberapa jenis sistem disebut-sebut manakala RMK12 pula cuma berbaki lagi tiga tahun.

 

Ketika ini, sistem pertahanan udara ATM terbatas pada kemampuan peluru berpandu pertahanan udara jarak dekat selain meriam penangkis.

 

Memiliki sistem pertahanan udara di darat yang ampuh adalah penting bagi GAPU dan TUDM untuk melindungi sasaran penting serta kritikal negara daripada ancaman.

 

Sementara itu, negara jiran Indonesia pula rancak membangunkan angkatan udaranya apabila telah memuktamadkan keputusan membeli pesawat-pesawat tempur baharu.

 

 

fokus
Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto (berdiri, kanan) dan Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama bagi pesawat Rafale di Jakarta pada Februari lalu.

 

 

Jakarta yang bersetuju membeli pesawat tempur Dassault Rafale buatan Perancis akan menerima pesanan pertama sebanyak enam buah dalam tempoh empat tahun lagi.

 

Ia adalah sebahagian daripada perjanjian perolehanan 42 buah pesawat yang dimeterai Indonesia pada Februari lalu dengan nilai kontrak AS$8.1 bilion.

 

Ini menjadikan Indonesia pengguna kedua selepas India yang mengoperasikan pesawat Rafale di rantau Asia Pasifik.

 

Selain Rafale, Indonesia juga dalam proses menoktahkan pembelian pesawat tempur F-15EX apabila Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat meluluskan penjualan tersebut.

 

Sekurang-kurangnya 36 buah pesawat F-15EX akan diterima Indonesia dengan kos sebanyak AS$13.9 bilion.

 

 

rafale
Indonesia bakal menerima enam pesawat tempur Rafale bagi memperkukuhkan tentera udaranya.

 

 

Indonesia yang berhadapan isu di Laut China Selatan dilihat serius untuk menggandakan kekuatan udara dan maritim sejak tiga tahun lalu di bawah Menteri Pertahanannya, Letnan Jenderal Prabowo Subianto.

 

Malaysia sebaliknya yang telah merancang perolehan 18 pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) sejak 2009 menggantikan MiG29N terpaksa menggantung rancangan itu sementara atas faktor kos.

 

Pembelian ini yang sepatutnya diputuskan empat tahun lalu meletakkan tiga calon iaitu pesawat Eurofighter Typhoon, Rafale dan Saab Gripen dengan kos sebanyak RM8 bilion. - DagangNewscom