CGS-CIMB : Kos sara hidup, masalah buruh, isu DNB antara tumpuan pasaran menjelang akhir tahun ini | DagangNews.com Skip to main content

CGS-CIMB : Kos sara hidup, masalah buruh, isu DNB antara tumpuan pasaran menjelang akhir tahun ini

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Dis - Pelabur dijangka terus memberi tumpuan kepada sejauh mana kerajaan perpaduan mampu menangani kos sara hidup rakyat yang akan menentukan arah laluan pasaran tempatan menjelang akhir tahun ini, demikian menurut CGS-CIMB Research. 

 

Selain itu, ia juga tertumpu kepada langkah-langkah yang akan diambil kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengatasi masalah kekurangan pekerja asing dan juga isu rasuah.

 

Malah, katanya, persidangan Parlimen pada 19 Disember ini dan pembentangan semula Bajet 2023 akan terus diperhati dengan rapat oleh pelabur selain mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada 13 hingga 14 Disember ini.

 

"Kami percaya indeks utama FBM KLCI akan bergerak lebih tinggi jika Anwar Ibrahim meraih undi percaya pada sidang Parlimen berkenaan. 

 

"Sentimen pasaran juga akan bertambah baik dengan jangkaan kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan dan kelonggaran dasar sifar COVID-19 di China," katanya dalam nota kajian.

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB berkata, pasaran turut menjejaki pandangan Kabinet terhadap Digital Nasional Bhd. dan rangkaian borong tunggal bagi 5G.

 

"Turut menjadi tumpuan ialah desakan kerajaan untuk subsidi yang disasarkan, penjimatan, dan tender terbuka untuk projek perolehan kerajaan," jelasnya.

 

Baru-baru ini, firma tersebut telah menyemak semula unjuran akhir tahun KLCI kepada 1,558 mata daripada 1,602 mata manakala bagi 2023 berlegar sekitar 1,619 mata.

 

Secara keseluruhan, ia mendapati KLCI pada bulan lalu mencapai paras puncak pada 11 November 2022, berikutan jangkaan Rizab Persekutuan AS (Fed) akan memperlahankan kenaikan kadar faedah.

 

Bagaimanapun, indeks utama jatuh 8% kepada paras terendah 1,441 mata pada 22 November selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) memandangkan tiada mana-mana gabungan parti politik berjaya membentuk kerajaan.

 

Apabila kebimbangan Parlimen tergantung diselesaikan dengan pelantikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 untuk membentuk kerajaan perpaduan, KLCI bertindak balas positif dan memperoleh 4% kepada 1,501 mata. 

 

Secara keseluruhan, KLCI menokok 1.9% pada November untuk mengakhiri bulan tersebut pada 1,488 mata.

 

Menurut CGS-CIMB, sentimen pasaran pada November terjejas oleh ketidaktentuan politik, tetapi ini telah diimbangi oleh sentimen pasaran global yang bertambah baik berikutan jangkaan kenaikan kadar AS yang lebih perlahan dalam beberapa bulan akan datang.

 

Selain itu, prestasi keputusan kewangan suku ketiga juga yang lebih baik daripada jangkaan oleh korporat Malaysia, menunjukkan bahawa perbelanjaan pengguna di Malaysia kekal kukuh dan sesetengah syarikat mampu menyalurkan kos yang lebih tinggi kepada pengguna.

 

"Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih ekuiti tempatan, tetapi jualan bersih mereka jatuh kepada RM282 juta pada November (berbanding jualan bersih RM594 juta pada Oktober)," katanya. - DagangNews.com