CGS-CIMB jangka keputusan kewangan Kawan Food lebih kukuh pada 4QFY22 | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka keputusan kewangan Kawan Food lebih kukuh pada 4QFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Nov - CGS-CIMB Research menjangkakan Kawan Food Berhad merekodkan keputusan kewangan yang lebih kukuh bagi 4QFY22.

 

Firma itu berkata, jangkaan itu adalah disebabkan jumlah jualan yang tinggi disokong oleh pemulihan permintaan daripada segmen eksport selain permintaan bermusim daripada pasaran domestik.

 

"Kumpulan itu juga akan mendapat manfaat daripada perkembangan margin keuntungan hasil daripada penurunan kos input seperti harga minyak sawit, tepung dan sebagainya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu melonjak 34.33% kepada RM10.4 juta pada 3QFY22 berbanding RM7.74 setahun lalu didorong hasil jualan yang lebih tinggi.

 

Hasil suku tahunan meningkat 12.17% kepada RM71.83 juta daripada RM64.04 juta.

 

Untung bersih bagi 9MFY22 meningkat 34.31% kepada RM29.845 juta, daripada RM22.22 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, apabila hasil meningkat 19.78% kepada RM220.875 juta daripada RM184.39 juta.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga yakin untuk melancarkan produk baharu yang dijadualkan pada 4QFY22 bagi memacu hasil jualan bagi pada suku-suku tahun akan datang.

 

Katanya, produk itu adalah bagi pasaran pengguna dan segmen hotel, restoran dan cafe (HORECA). 

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu telah menangguhkan pelancaran produk berasaskan tumbuhan baharunya kepada 1QFY23 bagi memastikan kapasiti pengeluaran cukup bersedia.

 

"Kami juga memahami bahawa kumpulan itu menjangkakan pesanan daripada pelanggan eksport baharunya akan bermula dari 2QFY23 dan seterusnya, dengan ujian produk berterusan," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM2.82 sesaham. - DagangNews.com