BNM sasar keluarkan sehingga 5 lesen DITO selepas memuktamadkan dasar pada 2023 | DagangNews Skip to main content

BNM sasar keluarkan sehingga 5 lesen DITO selepas memuktamadkan dasar pada 2023

KUALA LUMPUR 25 Nov -  Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengeluarkan draf dedahan Rangka Kerja Pelesenan dan Pengawalseliaan untuk Penanggung Insurans dan Pengendali Takaful Digital bagi mendapatkan maklum balas secara bertulis susulan pengeluaran kertas perbincangan pada awal tahun ini.

 

Draf dedahan itu menggariskan rangka kerja yang dicadangkan untuk memudahkan penyertaan penanggung insurans dan pengendali takaful digital (DITO) Malaysia yang boleh menawarkan cadangan nilai yang kukuh bagi mencapai hasil - rangkuman, persaingan dan kecekapan.

 

Menurut bank pusat, draf itu menggariskan prosedur permohonan dan pelesenan serta keperluan khusus berkaitan dengan model perniagaan dan saluran pengedaran yang layak untuk DITO.

 

Katanya, DITO dijangka menjalankan perniagaan insurans atau takaful secara digital atau elektronik sepenuhnya (atau hampir sepenuhnya). 

 

"Ini seterusnya akan menggalakkan model perniagaan dan operasi baharu bagi memenuhi keperluan pengguna yang pelbagai melalui penawaran pilihan produk yang lebih banyak serta kualiti penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap. 

 

"Bagi memajukan inovasi-inovasi ini, BNM akan memastikan tumpuan yang kukuh terus diberikan pada pengurusan risiko yang mantap dan perlindungan kepentingan pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Langkah itu bertujuan untuk menggalakkan operasi perniagaan yang mampan dan pada masa sama memberikan nilai kepada pengguna. 

 

DITO perlu mematuhi keperluan sedia ada di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. 

 

Keperluan ini termasuk piawaian mengenai kehematan, amalan perniagaan dan langkah-langkah pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan. 

 

Sebagai sebahagian daripada proses permohonan lesen, BNM akan menghendaki pemohon untuk mengemukakan rancangan perniagaan yang komprehensif bagi tempoh masa lima tahun yang antara lain termasuk langkah-langkah yang dirancang untuk menguruskan risiko teknologi dan risiko siber secara berkesan apabila menyampaikan produk dan perkhidmatannya. 

 

Selaras dengan keperluan yang diterima pakai oleh institusi-institusi kewangan lain di bawah dokumen dasar Risk Management in Technology, pemohon juga perlu menunjukkan keupayaannya untuk melindungi data pengguna dan mengesahkan transaksi kewangan bagi mengurangkan risiko penipuan/siber.

 

BNM berhasrat untuk memuktamadkan Dokumen Dasar dan mempelawa permohonan lesen DITO pada 2023. Sebanyak  lima lesen akan diberikan kepada pemohon yang memenuhi semua keperluan yang ditetapkan. - DagangNews.com