Bintai Kinden raih projek pemasangan litar berkembar kabel bawah tanah bernilai RM39 juta daripada TNB | DagangNews Skip to main content

Bintai Kinden raih projek pemasangan litar berkembar kabel bawah tanah bernilai RM39 juta daripada TNB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Nov - Bintai Kinden Corporation Berhad menerusi anak syarikatnya, Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn. Bhd. berjaya meraih kontrak bernilai RM39.0 juta untuk pemasangan litar berkembar kabel bawah tanah 132kV daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, skop kerja projek itu melibatkan pemasangan sistem kabel XLPE 132kV baharu dari Pusat Kewangan, Pusat Pencawang Masuk Utama (PMU) ke Pencawang Pusat Data GDS yang terletak di Nusajaya, Johor.

 

Kabel XLPE baharu terdiri daripada dua litar, dan tiga fasa, dengan satu kabel kuprum 1600mm2 setiap fasa dan kumpulan itu mempunyai 319 hari dari hari permulaan untuk menyiapkan projek berkenaan.

 

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, syarikat terus membuat kemajuan dalam mencari lebih banyak projek yang memanfaatkan kepakaran dan pengalamannya dalam perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik termasuk reka bentuk, pemasangan dan pentauliahan.

 

"Projek terbaru daripada TNB ini mencerminkan peluang yang berpunca daripada momentum pertumbuhan dalam ekonomi.

 

“Kami juga komited untuk mengembangkan rangkaian kepakaran kami dan sentiasa mencari untuk mempelbagaikan apabila kami berubah menjadi sebuah konglomerat melalui pelaburan dalam perniagaan unik dan khusus dengan potensi pertambahan pendapatan yang besar," katanya.

 

Projek TNB sebelum ini menyaksikan Bintai Kinden terlibat dengan kerja-kerja stesen suis 132kV Kuchai Lama, stesen suis MRT Bukit Serdang 132kV, kabel bawah tanah litar tunggal 132kV dari PMU Galloway ke PMU KLCC2 dan, sambungan bekalan pukal 132kV ke stesen bekalan KTMB Sentul. - DagangNews.com