Bekas Presiden Persatuan Fintech Malaysia dilantik sebagai CEO Incite Foodtech | DagangNews Skip to main content

Bekas Presiden Persatuan Fintech Malaysia dilantik sebagai CEO Incite Foodtech

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Nov - Lembaga Pengarah Incite Foodtech Sdn Bhd mengumumkan pelantikan Karen S Puah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya.

 

Sejak penubuhannya sekitar tahun 2020, Incite Foodtech sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di Malaysia telah mencapai kejayaan besar, memasuki pasaran asing, dan kini memperluaskan perniagaan yang berpengalaman untuk meningkatkan strategi perniagaan pada skala yang lebih besar.

 

Perniagaan tersebut merangkumi makanan dan minuman, barangan runcit, kedai serbaneka, farmasi, peruncit saluran omni dan perkhidmatan kewangan.

 

Pengerusi Lembaga Pengarah Incite Foodtech, Vincent Kok berkata, Puah mencipta kesan yang berkekalan di lembaga pengarah dengan visi, intelek dan profesionalismenya.

 

"Beliau telah membuat impak yang luar biasa sepanjang berada di Persatuan Fintech Malaysia, She Loves Tech, dan kami tidak ragu-ragu bahawa beliau akan meneruskan momentum ini sebagai CEO kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Puah yang juga bekas Presiden Persatuan Fintech Malaysia dan Duta She Loves Tech, mempunyai lebih daripada dua dekad pengalaman dalam industri pengiklanan, FMCG dan kewangan, membolehkannya membangunkan pengalaman serantau yang unik dan sudut pandangan pasaran. 

 

Ditambah dengan rangkaian kewangannya yang luas, beliau dapat memberikan pandangan yang akan menyumbang kepada pengembangan syarikat.

 

Puah berkata, beliau sentiasa melihat dirinya sebagai sebahagian daripada entiti yang mengubah permainan dan melihat Incite Foodtech sebagai salah satu daripadanya. 

 

"Buat masa ini usaha niaga itu memberi tumpuan kepada teknologi makanan, tetapi dalam beberapa bulan akan datang kami akan membuka kunci potensinya dan berkembang kepada teknologi pengguna, tertanam dengan fintech, dengan IPO menjadi matlamat utama," katanya.

 

Pengasas dan Pengarah Incite Foodtech, Tham Lih Chung berkata, mereka sangat teruja untuk mempunyai Puah dalam peranan CEO. 

 

"Beliau adalah pemimpin yang mantap dengan visi untuk membina kejayaan yang telah dicapai oleh Incite Foodtech sejak penubuhannya dan membawa kami ke fasa pertumbuhan dan inovasi kami yang seterusnya," katanya.

 

Pemimpin Paling Berpengaruh Asia (Malaysia) 2021 itu memegang Ijazah MBA dalam Keusahawanan dari Asia eUniversity dan Diploma Kewangan Islam daripada Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah di London. - DagangNews.com