Aurelius tingkatkan inisiatif produk baharu untuk penuhi permintaan pelanggan, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Aurelius tingkatkan inisiatif produk baharu untuk penuhi permintaan pelanggan, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mac - Aurelius Technologies Berhad akan meningkatkan inisiatif produk baharu (NPI) dengan rancangan untuk menambah dua lagi barisan pengeluaran umum bagi memenuhi permintaan daripada pelanggan.

 

Maybank Investment Bank (Maybak IB) berkata, rancangan itu dilihat akan memberi kelebihan kepada kumpulan itu memandangkan kadar tempahan untuk produk komunikasi dan Internet Kebendaan (IoT) semakin meningkat.

 

"Sekiranya kumpulan itu dapat menggunakan sepenuhnya kapasiti baharunya menjelang FY26 (berbanding unjuran semasa kami FY28), ia akan diterjemahkan kepada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) tiga tahun yang kukuh sebanyak 60% berbanding unjuran 41%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Untung bersih teras kumpulan itu bagi FY23 sebanyak RM41.2 juta mengatasi kedua-dua anggaran firma itu dan konsensus sebanyak 5% pada cukai yang lebih rendah daripada jangkaan.

 

Firma itu menyamak naik ramalan untung teras bersih kumpulan itu bagi FY24 dan FY25 sebanyak 7% dan 16%.

 

Firma itu berkata, hasil kumpulan sebanyak RM482.4 juta adalah lonjakan sebanyak 31% dan ia adalah hasil sumbangan pertama daripada kapasiti baharu yang ditambah selepas tawaran awam permulaan (IPO) kerana ia meningkatkan pengeluaran untuk pelanggan baharu dan sedia ada.

 

"Hasil 4QFY23 meningkat sebanyak 4% kepada RM137.1 juta, terutamanya disebabkan oleh pemulihan daripada gangguan rantaian bekalan, serta pengeluaran yang lebih tinggi daripada kapasiti baharu," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.90 sesaham.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan pelbagai risiko termasuk permintaan yang lebih lemah daripada jangkaan daripada pelanggan memandangkan peningkatan inflasi dan risiko geopolitik

 

Selain itu katanya, mereka juga berdepan kos yang lebih rendah daripada jangkaan dan gangguan operasi daripada isu tenaga kerja atau kekurangan komponen. - DagangNews.com